Muna bersama kedua ibu bapanya.
Muna bersama kedua ibu bapanya.
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Selepas sasaran mahu berkahwin pada usia 25 tahun tidak kesampaian, penyanyi, Muna Shahirah tidak mahu lagi ingin meletak sebarang harapan.

Menurut Muna, kini soal jodohnya diserahkan pada ketentuan Allah selain ingin memberi fokus untuk membahagiakan kedua orang tuanya.

"Sekarang umur saya dah 27 tahun. Kiranya apa yang pernah diimpikan sebelum ini (berkahwin), tidak jadi kenyataan. Tapi, tak apalah belum sampai jodoh lagi dan saya tak kecewa pun.

"Bagi saya, mungkin sekarang ini Allah masih beri peluang untuk saya habiskan banyak masa dengan ibu bapa. Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dan gembira dengan hikmah ini.

"Ditambah, saya ada impian baharu iaitu berusaha mengumpul wang yang cukup untuk membeli rumah untuk ibu bapa. Itu sasaran utama saya dan semoga ia jadi kenyataan," katanya yang juga anak perempuan tunggal dari tiga beradik.

Ujar Muna, selain itu ibunya juga tidak menyarankan dia berumah tangga sekarang. Katanya, oleh itu dia rela terus menjadi kawan ibunya di rumah sehingga jodoh tiba suatu hari nanti.

"Apa pun, saya ada juga berkawan rapat dengan seseorang. Kami baru setahun berkenalan dan menjalin hubungan. Tapi, untuk perancangan perkahwinan, belum ada lagi," katanya.

Muna yang pernah popular dengan lagu Teguh Setia berkata meskipun pendapatannya dalam kerjaya seni terjejas akibat Covid-19, dia lebih selesa melihat dari sudut positif.

"Sejak tahun lalu, hingga kini saya memang banyak masa dengan ibu bapa kerana duduk di Johor bersama mereka. Pada mulanya, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, risau juga mengenai pendapatan.

"Ini kerana, saya sudah terbiasa membayar segala urusan bil serta menyediakan keperluan untuk ibu bapa. Jadi, saya bimbang jika perlu bergantung pada bapa yang sudah pencen dan makin berusia.

"Alhamdulillah, minat saya pada permainan video yang dipupuk ketika PKP itu, mendorong saya mencuba nasib menjadi 'streamer'. Syukur, kini ia cabang pendapatan baharu saya," katanya.

Selain itu, Muna akui akan terus aktif dalam kerjaya seni kerana itu minat utamanya. Namun, dalam situasi sekarang, katanya dia kena belajar dan berani ambil langkah mencuba banyak kemahiran baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Mei 2021 @ 2:14 PM