PENERBANGAN ihsan Unit Udara Bomba dan Penyelamat.
PENERBANGAN ihsan Unit Udara Bomba dan Penyelamat.

Gua Musang: Selepas menahan kesakitan tujuh jam akibat pendarahan, seorang wanita Orang Asli yang sarat mengandung akhirnya dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM), di sini, dengan bantuan Bahagian Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM).

Muna Rahim, 25, dari Pos Gob, di sini, yang mahu melahirkan anak kedua diselamatkan jam 1.55 petang dan dibawa ke HGM menaiki ambulans dari Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang jam 2.10 petang.

Pegawai Perhubungan Awam Pangkalan Udara JBPM, Penguasa Bomba Siti Farizun Naim berkata, helikopter AW 139 diterbangkan dari pangkalan udara Bertam, Pulau Pinang jam 12.45 tengah hari.

“Kami menerima laporan pesakit dalam keadaan kritikal daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan penerbangan ihsan bagi menyelamatkannya untuk dihantar ke HGM.

“Difahamkan Muna mula merasa untuk melahirkan bayi jam 5 pagi, namun jalan darat mengambil masa panjang selain ketiadaan kenderaan pacuan empat roda,” katanya.

Katanya, penerbangan itu yang kedua bagi bulan ini membabitkan Orang Asli di Pos Gob.

“Tahun lalu, lebih 20 penerbangan ihsan dilakukan membabitkan kampung Orang Asli,” katanya.

Suami Muna, Tony Adik, 34, berkata, isterinya mula mengalami kontraksi untuk bersalin jam 8 malam kelmarin, namun terpaksa menunggu keesokkan hari untuk ke hospital.

Katanya, keadaan isteri makin serius jam 5 pagi dan jam 9 pagi dia menghubungi JAKOA untuk mendapatkan bantuan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2016 @ 6:41 AM