Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Kelantan tidak menolak kemungkinan Unit Rawatan Rapi (ICU) Medan akan diwujudkan berikutan katil di ICU Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) semakin terhad untuk kegunaan pesakit Covid-19.

Pengarah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Kelantan, Dr Mohd Azman Yacob berkata, pada masa ini jumlah katil sebanyak 42 yang terdapat di wad ICU sangat kritikal dengan peratusan penggunaannya antara 90 hingga 95 peratus setiap hari namun adakalanya mencecah 100 peratus.

Beliau berkata, dengan situasi semasa sebegitu, tidak mustahil ICU Medan yang dikendalikan sepenuhnya oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bakal dibina seperti yang berlaku di Hospital Kepala Batas, Pulau Pinang.

"Pada masa ini jumlah pesakit yang berada di ICU amat kritikal dan daripada 42 katil, sudah menempatkan 40 pesakit Covid-19.

"Kita tidak menolak kemungkinan ICU Medan boleh diwujudkan di Kelantan namun segalanya diputuskan oleh Menteri Besar dalam mesyuarat.

"Jika ia betul-betul dibina, kami di pihak Kementerian Kesihatan sedia bekerjasama dengan membekalkan tenaga yang mana operasi keseluruhannya terletak di pihak ATM," katanya ketika sidang media di perkarangan PKRC Gelanggang Seni di sini, hari ini.

Dr Mohd Azman berkata, kebimbangan terhadap peningkatan kepada bilangan pesakit Covid-19 dalam kategori 4 dan 5 terutama dalam golongan berusia disebabkan masih ada yang menyorokkan simptom.

Katanya, tindakan itu berlaku apabila ada yang mengetahui diri dijangkiti Covid-19 atau terdedah kepada kontak rapat yang positif tapi tidak tampil secara sukarela untuk menjalankan ujian calitan.

DR Mohd Azman (kiri) meninjau di PKRC di Gelanggang Seni yang menempatkan 147 pesakit dengan dilengkapi 30 katil klinikal dan 50 katil bertingkat. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
DR Mohd Azman (kiri) meninjau di PKRC di Gelanggang Seni yang menempatkan 147 pesakit dengan dilengkapi 30 katil klinikal dan 50 katil bertingkat. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

"Mereka sebaliknya hanya menunggu pihak kesihatan memberi arahan supaya datang membuat ujian (calitan), baru mereka datang dan kita risau jika ia berlaku dalam kalangan warga emas.

"Mereka sudah lama demam di rumah dan apabila sampai untuk pemeriksaan, dikesan dalam kategori 4 atau 5 dan memerlukan rawatan rapi.

"Hasil pemeriksaan pula mendapati mereka sudah ada pneumonia atau jangkitan paru-paru dan banyak berlaku kematian disebabkan pesakit agak lewat mendapatkan rawatan," katanya.

Terdahulu beliau meninjau PKRC khas di Gelanggang Seni yang menempatkan 156 katil yang mana 30 daripadanya adalah untuk warga emas dengan dilengkapi katil klinikal serta peralatan perubatan khas.

Beliau berkata, setakat tujuh PKRC yang dibina di Kelantan, kapasiti kesemuanya dilihat semakin penuh sekitar 90 hingga 97 peratus dan sedang mempertimbangkan untuk penambahan PKRC seterusnya.

"PKRC hari ini berada dalam kadar 90 hingga 97 peratus yang mana di Tanah Merah serta Pasir Mas sudah penuh manakala di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK) pula akan ditambah katil menjadikan kesemuanya memuatkan 350 pesakit,' katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Mei 2021 @ 12:57 PM