Ridzuan Abdul Rahman


DRAMA popular Adam Chempaka buat pertama kalinya menemukan pelakon Sweet Qismina dan Adam Lee.

Dari situ cinta mereka mula berputik dan terbaru mereka sekali lagi digandingkan menerusi drama Bidadari Salju yang ditayangkan menerusi slot Akasia TV3.

Sweet, 24, atau nama sebenarnya Farhanna Qismina Supandi berkata, banyak keseronokan dilalui apabila membintangi drama popular ini.

"Ia adalah drama pertama saya untuk slot Akasia dan saya memang rasa seronok sangat dapat melakonkan watak Kayra. Tambah lagi ceritanya memang lain dari lain kerana memaparkan Kayra berdendam dengan lelaki sejak zaman sekolah dan buat dia tak percaya langsung dengan lelaki walaupun dia berkahwin," katanya.

Menurutnya, konflik cerita ini bertambah apabila lelaki itu seorang psiko sehingga mengakibatkan kehidupan Kyra terlalu tertekan.

"Ikutkan penggambaran drama 28 episod ini memakan masa yang lama, tapi kami berjaya ambil masa hanya 54 hari sahaja untuk siap disebabkan mengejar waktu penggambaran dibuat ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Alhamdulillah, sambutan amat positif untuk cerita ini. Episod pertama sudah trending dan ramai suka. Tapi bagi saya, banyak lagi yang kena belajar dan buktikan kemampuan sebagai pelakon. Lumrah apabila ada juga komen negatif yang diterima tapi saya jadikan sebagai satu nasihat untuk diri sendiri," katanya.

Biarpun bukan kali pertama bergandingan bersama, ini kali pertama Sweet bergandingan dengan Adam untuk drama genre berat.

"Dia adalah hero drama ini. Adam memang seorang yang komited dengan kerja. Jadi bila kami 'on set' memang tiada pun nak bermanja atau dating sebagainya. Kami lebih fokus pada kerja dan watak kerana ceritanya terlalu berat. Lagipun maklumlah ini adalah pengalaman pertama masing-masing dalam Akasia. Masing-masing faham cara kerja dan menghormati sama sendiri dalam kerjaya. Jadinya bukan satu isu untuk bekerjasama," katanya.

Sweet mengakui sangat seronok berada satu set dengan kekasihnya kerana dapat berkongsi cerita dan berbincang berkenaan karier.

"Macam-macam pengalaman ada. Yang kelakarnya, dia sepatutnya kena ludah saya untuk satu babak, tapi dia tak sampai hati nak buat. Apapun ahamdulillah, lakonan dia nampak menjadi sehinggakan orang benci watak Adam. Sekarang saya terbabit dengan penggambaran drama Dear Cinta untuk TV3.

AKSI sweet ketika di set penggambaran.
AKSI sweet ketika di set penggambaran.

"Insya-Allah, selepas ini saya akan berlakon filem pula. Dan kemungkinan akan ada satu drama lagi bergandingan dengan Adam," katanya yang sentiasa berkongsi berita terkini di media sosialnya.

Sweet bersyukur kerana setiap cerita dan watak yang diberikan serta ditayangkan mempunyai peminat tersendiri.

SENTIASA fokus ketika penggambaran.
SENTIASA fokus ketika penggambaran.

"Itu sebenarnya yang buatkan nama saya lagi kukuh. Apabila jumpa peminat, ada yang kenal saya menerusi Bidadari Salju dan ada menerusi drama Pink Smile dan banyak lagi," katanya.

Berkongsi perancangan masa depan mereka, Sweet berkata, buat masa ini masing-masing fokus dengan karier.

"Rezeki semakin luas, dia ada perancangan sendiri dan begitu juga saya. Jadi kita tak akan halang rezeki masing-masing. Insya-Allah, suatu hari nanti kami akan kongsikan perkara baik di media sosial masing-masing," katanya yang pernah menyasarkan akan berkahwin sebelum usia 30 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 January 2021 @ 6:00 AM