Mahaizura Abd Malik dan Najiy Jefri


Petaling Jaya: Mahkamah Majistret di sini, hari ini membenarkan permohonan ikat jamin ke atas penyanyi Radhi OAG yang didakwa mencederakan bekas isterinya.

Radhi atau nama sebenarnya Muhammad Radhi Razali, 45, mengaku tidak bersalam selepas didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Nur Shaira Ayu Zahiri, 28, atau Ayu di Parkir Emporis Menara D Kota Damansara, di sini, 2.29 petang Selasa lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamed Wafi Hussain menetapkan RM7,000 ikat jamin, namun peguam Haziq Aizuddin Subhi yang mewakili tertuduh memohon wang berkenaan dikurangkan selepas mengambil kira pendapatan Radhi yang tidak menentu dan menyara anak-anaknya.

"Nilai RM7,000 terlalu tinggi memandangkan OKT (Orang Kena Tuduh) kini menjaga anak-anaknya sebab di bawah penjagaan OKT.

"Sekiranya nilai tinggi diberikan untuk jaminan OKT, menyukarkan OKT menjaga anak-anaknya masih kecil.

"Saya percaya OKT berikan kerjasama baik. Saya mohon satu jaminan harga rendah untuk OKT kerana tidak mempunyai pendapatan tetap bergantung kepada keadaan," katanya.

Mengambil kira keadaan itu, Majistret memutuskan tertuduh diikat jamin dengan wang jaminan dikurangkan kepada RM2,500 dan seorang penjamin dengan syarat tambahan tidak menganggu saksi pendakwaan dan pengadu.

Majistret menetapkan sebutan semula kes pada 13 Julai ini.

PETALING JAYA 21 APRIL 2022. Penyanyi, Muhammad Radhi Razali atau lebih dikenali Radhi OAG diiringi polis selepas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memukul dan mencederakan bekas isterinya di Mahkamah Majistret Petaling Jaya. NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
PETALING JAYA 21 APRIL 2022. Penyanyi, Muhammad Radhi Razali atau lebih dikenali Radhi OAG diiringi polis selepas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memukul dan mencederakan bekas isterinya di Mahkamah Majistret Petaling Jaya. NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 April 2022 @ 12:22 PM