ANTARA gelandangan yang beratur untuk mengambil bantuan makanan.
ANTARA gelandangan yang beratur untuk mengambil bantuan makanan.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Rata-rata pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif mengagihkan makanan kepada gelandangan di ibu negara akur arahan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) namun gusar terhadap nasib gelandangan tercicir dan tua.

Ketetapan DBKL yang tidak membenarkan NGO memberi sumbangan terus di lapangan akan menyebabkan ramai golongan sasar gelandangan yang berselerak dan jauh dari lokasi agihan tidak mendapat makanan.

Pengerusi dan Pengasas Pertubuhan Kebajikan Ar-Riqab Kuala Lumpur, Nor Akmar Ali berkata, selain itu ramai juga dalam kalangan gelandangan yang mengalami masalah kesihatan, tua dan tidak larat untuk bergerak jauh.

"Lagipun untuk pengetahuan, ramai juga gelandangan yang malu tampil. Kita sepatutnya pergi kepada mereka...menghulurkan sumbangan secara terus. Sejak dua hari lalu, saya sedih mengenangkan gelandangan tercicir itu," katanya.

Sementara itu, Pengasas Pertubuhan Kebajikan Baitul Fiqh, Haliza Abdul Halim pula berkata, tiga lokasi ditetapkan DBKL untuk mengagihkan makanan kepada gelandangan hanya fokus di sekitar kawasan Masjid India dan Chow Kit sedangkan ramai lagi gelandangan di kawasan lain.

Sebagai contoh, katanya, pihaknya lebih aktif melaksanakan agihan di kawasan tebing Sungai Klang dan Bulatan Kinabalu di sini.

"Tiada pihak lain mengagihkan makanan kepada gelandangan secara tetap sejak 20 tahun melainkan kami.

"Keputusan itu seperti tidak mempedulikan gelandangan yang sakit di tepi sungai, kawasan Pasar Seni, Bangkok Bank sehingga ke Pudu. Malah, terdapat gelandangan juga di Jalan Imbi, Bukit Bintang," katanya.

Pada Sabtu lalu, DBKL mengumumkan hanya tiga lokasi dibenarkan untuk NGO, kumpulan atau individu mengagihkan makanan kepada golongan miskin serta gelandangan di sekitar ibu negara sempena bulan Ramadan ini.

Tiga lokasi itu adalah Pusat Transit Gelandangan Jalan Pahang; Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tuanku dan Pusat Pembelajaran Komuniti Jalan Chow Kit.

Selain tiga lokasi terbabit, NGO atau kumpulan atau individu tidak dibenarkan mengagih makanan di sekitar bandar raya Kuala Lumpur tanpa kebenaran DBKL.


MAHADI turun padang melihat sendiri proses pengagihan makanan di Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tuanku.
MAHADI turun padang melihat sendiri proses pengagihan makanan di Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tuanku.

Larangan bukan halangan bersedekah

Kuala Lumpur: Larangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kumpulan atau individu menyumbang makanan kepada golongan gelandangan secara terus di lapangan bukan halangan untuk bersedekah di bulan Ramadan.

Sebaliknya langkah diambil itu membolehkan makanan diagihkan secara teratur, mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 selain mengelak berlaku pembaziran makanan seperti sebelum ini.

Malah, langkah itu mampu mengelakkan ibu kota dicemari kotoran dan sisa makanan berlebihan yang dibuang golongan gelandangan di merata lokasi tumpuan ramai seperti di hadapan bank CIMB, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Masjid Jamek, Jalan Petaling dan Central Market.

Terbaharu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah 'turun padang' untuk melihat sendiri proses pengagihan makanan di Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tuanku di sini, jam 6 petang, semalam.

Makanan sumbangan oleh NGO itu diagihkan kepada golongan yang memerlukan dengan pematuhan SOP dan berada dalam keadaan teratur.

Tinjauan terhadap dua lagi pusat pengagihan iaitu di Pusat Transit Gelandangan, Jalan Pahang dan Pusat Pembelajaran Komuniti, Chow Kit turut mendapati proses pengagihan berjalan lancar dan dalam keadaan teratur.

Mahadi dalam kenyataannya menzahirkan rasa puas hati terhadap proses pengagihan makanan di ketiga-tiga pusat ini dan menyeru pihak yang ingin menyalurkan sumbangan supaya menyalurkannya menerusi pusat berkenaan.

Pihak yang mahu menyalurkan bantuan diminta menghubungi DBKL di talian 03-2617 6321 bagi mengelakkan pertindihan dan pembaziran.

Pada Sabtu lalu, DBKL mengumumkan hanya tiga lokasi dibenarkan untuk NGO, kumpulan atau individu mengagihkan makanan kepada golongan miskin serta gelandangan di sekitar ibu negara sempena Ramadan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 April 2021 @ 6:35 AM