BAJU  yang bersepah selepas program Jalinan Kasih di Jalan Tunku Abdul Rahman. FOTO Facebook Syed Azmi
BAJU yang bersepah selepas program Jalinan Kasih di Jalan Tunku Abdul Rahman. FOTO Facebook Syed Azmi
Luqman Arif Abdul Karim


PENGANJUR program pengagihan pakaian terpakai kepada gelandangan di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR), Kuala Lumpur memohon maaf susulan isu pakaian yang dikatakan bersepah di sekitar kawasan terbabit.

Ketua Biro Kebajikan Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Mohd Nurhalis Shafiq Sham Suri, menjelaskan pengagihan lebih 1,000 jaket malam tadi ialah hasil sumbangan rakannya yang mempunyai perniagaan pakaian terpakai atau ‘bundle’.

Katanya, butiran mengenai sumbangan itu diterima Khamis lalu, sekali gus pihaknya selaku penganjur mengadakan mesyuarat dengan pihak berkaitan termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi mengelola program pengagihan bantuan berkenaan.

“Asalnya, DBKL mencadangkan lokasi pengagihan bantuan dijalankan di pusat transit berdekatan Jalan TAR, namun tinjauan saya mendapati tempat berkenaan tidak ramai orang.

“Kita khuatir lebih 1,000 jaket ini tidak dapat diagihkan sehingga habis, bukan saja untuk diambil dan dipakai oleh gelandangan tetapi juga orang ramai yang melalui kawasan terbabit.

“Oleh itu, saya dapatkan bantuan untuk mendirikan khemah di Jalan TAR, berhampiran Chow Kit, iaitu kawasan yang lazimnya dipenuhi gelandangan sebagai lokasi pengagihan,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Mengambil pendekatan berjiwa besar, Mohd Nurhalis yang juga penganjur program berkenaan menegaskan pihaknya tidak mahu menegakkan benang basah selepas dihujani kritikan pelbagai pihak bahawa pemberian bantuan itu berpunca daripada kepincangan pengurusan.

Beliau mengakui penyaluran bantuan dalam kuantiti yang besar sewajarnya dilaksanakan menerusi rundingan dan kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan.

“Ini pengajaran buat saya selaku penganjur, justeru kita ambil iktibar dan akan memperbaiki kelemahan pengurusan program supaya isu seperti malam tadi berupaya ditangani.

“Saya sedar nama Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Mohd Harun, kini terpalit dengan isu lambakan pakaian di sekitar kawasan Jalan TAR susulan pengagihan bantuan berkenaan, namun beliau tiada kena mengena dengan masalah terbabit.

“Perkara ini berpunca daripada pihak saya selaku penganjur, justeru saya mohon maaf. YB (Yang Berhormat) Rina hanya turun membantu memeriahkan majlis, selain cuba menghapuskan jurang antara golongan gelandangan dan masyarakat,” katanya.

Mengulas pakaian yang bertaburan sehingga mengundang kecaman orang ramai, Mohd Nurhalis menjelaskan pihaknya membuat rondaan pada 2 pagi dan membersihkan kawasan di sekitar lokasi pengagihan bantuan.

Bagaimanapun, pihaknya dimaklumkan bahawa beberapa NGO lain turut berada di lokasi sama untuk mengagihkan bantuan selepas 1 pagi.

“Kita sudah keluarkan permohonan maaf secara rasmi hari ini supaya polemik ini tidak berlarutan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Jun 2018 @ 4:07 PM