Allahyarham Tony Iskandar
Allahyarham Tony Iskandar
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Bekas pemain bass kumpulan rock terkenal Spider, Tony Iskandar ditemui meninggal dunia di studio rakaman Luncai Emas milik komposer Datuk M Nasir di Sungai Buloh, Selangor kira-kira jam 2.30 pagi, hari ini.

Tony yang juga penerbit residen Luncai Emas dan pemuzik undangan untuk rakaman album dan lagu sering berada di studio terbabit.

Berita pemergiannya mula dikongsi beberapa penggiat seni pada jam 3 pagi antaranya Ahtan Jinbara dan Along Exists.

Along menerusi media sosialnya memberitahu, dia bergegas ke Luncai Emas untuk melawat jenazah dan menunggu pihak hospital tiba untuk proses selanjutnya.

Selain Allahyarham, Spider turut dianggotai oleh Tam (penyanyi), Nafie (gitar) dan Aie (dram).

Selepas pengunduran Tony pada 2013, tempatnya diisi oleh Is.

Mereka yang tampil dengan konsep pop rock dengan pengaruh ska popular menerusi lagu Relaku Pujuk, Kasih Latifah, Laukku Cukup Masin dan Nazraku.

Setakat ini tiada sebarang kenyataan dikeluarkan oleh anggota Spider berkenaan punca kematiannya.

Bagaimanapun difahamkan Tony mempunyai sejarah penyakit kencing manis.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Jun 2021 @ 9:29 AM