KAFE AHAD

Satu masa nanti Malaysia akan dibadai tsunami mega, dilanda gempa bumi atau tenggelam ke dalam lautan. Tiada sesiapa yang menolak pendapat itu jika perubahan cuaca terus melanda negara ini.

Adakah senario itu akan berlaku dalam masa terdekat? Adakah perubahan cuaca yang kerap melanda boleh dianggap sebagai amaran awal petanda terbabit?

Ikuti wawancara Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) JAILAN SIMON bersama wartawan, YUSMIZAL DOLAH ALING, jurugambar, EIZAIRI SHAMSUDDIN dan juruvideo, SAIFUL ISKANDAR ISMAIL bagi mengulas isu perubahan cuaca ini.

Berkaitan perubahan cuaca, apa yang rakyat Malaysia belum dan perlu tahu?

Sebenarnya cuaca ini, daripada dulu sampai sekarang, tidak banyak yang berubah. Apa yang berubah adalah daripada segi suhu, itu yang ketara.

Dalam tempoh 100 tahun, suhu di negara kita meningkat lebih kurang 1.6 hingga 1.8 darjah Celsius, ia peningkatan agak tinggi.

Kalau kita tidak melakukan apa-apa, suhu ini akan terus meningkat, maknanya disebabkan pemanasan global atau pencemaran.

Ia akibat pelepasan karbon dioksida dan suhu akan terus meningkat.

Jika kita lihat graf, kita akan nampak dengan jelas peningkatan suhu. Daripada segi hujan tidak begitu jelas, cuma dalam tempoh kebelakangan ini, kita baru menemui cuaca yang sebelum ini kita tak pernah akui.

Contoh, puting beliung mini mula kelihatan terutama di utara Semenanjung. Perubahan ini disebabkan cuaca ekstrem seperti hujan lebih lebat atau ribut petir.

Apa peranan MetMalaysia yang orang ramai perlu tahu?

Kita sebenarnya lebih kepada pengurusan bencana. Kita berusaha mengesan bencana yang akan berlaku seperti banjir. Maksudnya, jika monsun datang, kita akan berikan amaran lebih awal.

Pada masa sama, kita juga ada kesan bencana seperti gempa bumi dan tsunami. Itu juga fungsi utama kami.

Ramai yang tidak tahu bahawa fungsi yang paling besar ialah memberikan maklumat cuaca untuk operasi penerbangan terutama penerbangan awam, tentera dan sebagainya.

Begitu juga operasi di laut. Ini ramai orang tidak tahu sebenarnya, jabatan meteorologi ini wujud akibat daripada keperluan penerbangan itu dulu.

Sebab itu dulu kita di bawah Kementerian Pengangkutan, bukan alam sekitar. Kita banyak memberi perkhidmatan penerbangan selain daripada perkhidmatan berkaitan bencana.

Setakat ini, bagaimana ramalan yang dibuat itu tepat?

Ia bergantung kepada ramalan apa. Daripada segi ramalan cuaca hujan hari ini, kita boleh capai sehingga 85 peratus ke atas.

Bergantung juga kepada musim. Ketika musim tengkujuh, lebih senang meramal berbanding musim peralihan monsun kerana cuacanya lebih stabil dan konsisten.

Begitu juga cuaca untuk ramalan penerbangan, kita boleh dapat lebih daripada 90 peratus ketepatan untuk digunakan oleh kapal terbang yang hendak beroperasi di Malaysia.

Daripada segi gempa bumi, ramai yang kata kita ramal gempa bumi, tetapi sebenarnya gempa bumi tidak boleh diramal.

Kita cuma mengesan gempa bumi dan memberitahu di mana ia berlaku, berapa kekuatannya.

Bagi tsunami pula, kita boleh ramal sebab bila berlaku gempa bumi, kita akan tahu sama ada berlaku tsunami atau sebaliknya.

Kita agak tepat sebenarnya.

  PEMANDANGAN udara menunjukkan sebahagian kawasan Temerloh yang dilanda banjir pada 7 Januari lalu.
PEMANDANGAN udara menunjukkan sebahagian kawasan Temerloh yang dilanda banjir pada 7 Januari lalu.

Apakah cabaran membuat ramalan cuaca?

Pertama, keadaan cuaca itu sendiri di kawasan khatulistiwa. Tidak banyak orang yang mengkaji.

Kebanyakan kajian dibuat di negara beriklim sederhana. Jadi sains berkaitan khatulistiwa ini masih terhad dan corak cuaca di sini agak berlainan dengan negara lain.

Di negara khatulistiwa, kita panggil cuaca awan perolakan. Jadi tempoh masa hujan tidak lama dan sistem itu sendiri tidak lama. Adakalanya, kita baru hendak mengesan, nak keluarkan amaran, tetapi cuacanya sudah tamat.

Adakalanya, kita tidak sempat hendak keluarkan amaran.

Satu lagi, sebagai contoh, di lokasi mana dan jam berapa hujan akan melanda Kuala Lumpur.

Ini kerana cuaca itu sendiri adalah kecil. Jika ia besar seperti di negara sederhana, senang untuk meramalnya.

Kedua ialah daripada segi teknologi kerana pelanggan yang membeli alatan kaji cuaca hanyalah METMalaysia, jadi tidak ada penghasil tempatan bagi alatan ini.

Kita terpaksa mengharapkan barangan yang diimport dan kosnya agak tinggi seperti radar.

Dulu kita buat secara manual. Apabila kita buat secara automatik, berlaku pula masalah komunikasi membabitkan kawasan pedalaman yang mana ada lagi yang masih tidak memiliki sistem komunikasi lengkap.

Bagaimanapun, kita sedang berusaha seperti menambah rangkaian stesen yang mampu meliputi seluruh negara.

Perubahan cuaca menjadi topik popular dalam kalangan rakyat, mohon jelaskan apa yang berlaku?

Apa yang berlaku sekarang ialah peralihan monsun timur laut kepada monsun barat daya.

Di tengah-tengahnya ini kita panggil peralihan monsun, maknanya angin itu berubah.

Sebelum ini kita terima angin dari timur laut. Pada Mei pula, kita akan terima angin dari barat daya.

Di tengah-tengah itu, angin akan datang dari pelbagai arah dan tidak kuat. Bila angin tidak kuat, biasanya lebih banyak berlaku perolakan awan.

Ia akan mengakibatkan ribut petir di pantai barat Semenanjung, Selangor, Perak, Johor dan Melaka. Jadi di kawasan bandar, kita perlu berhati-hati, ada risiko berlaku banjir kilat dan sebagainya.

Sebelum ini, apa yang berlaku adalah perubahan daripada fasa pertama monsun timur laut iaitu musim tengkujuh yang lembab.

Dan apabila masuk Januari, Februari dan Mac, ini kita panggil fasa akhir monsun timur laut, maknanya musim panas dan kering. Jadi keadaan panas ini biasanya akan berakhir pertengahan bulan April, tetapi hujan sudah mula melanda sekarang.

Bagaimanapun, panas itu tidak akan segera berakhir kerana matahari berada di atas kepala kita sekitar 23 Mac dan ia masih panas sehingga pertengahan April sebelum beransur sejuk.

Cuma bila berlaku fenomena El Nino yang kuat, biasanya akan berlaku cuaca panas yang ekstrem. Biasanya kering melampau dan kita mengalami keadaan kemarau seperti tahun lepas.

Pada 2015 dan 2016, kita mengalami suhu yang sangat tinggi iaitu 39 darjah Celsius.

Alhamdulillah, tahun ini adalah tahun La Nina. Berbanding tahun lepas, tahun ini lebih sejuk, tetapi mungkin sebab orang tak pantau cuaca, tetapi rasa panas.

KELIHATAN awan gelap di kawasan Kuala Nerus berikutan  Monsun Timur Laut  melanda pantai timur awal Januari lalu.
KELIHATAN awan gelap di kawasan Kuala Nerus berikutan Monsun Timur Laut melanda pantai timur awal Januari lalu.

Ramai yang ingin mengetahui teknologi yang kita ada terutama dalam meramal cuaca?

Kita ada rangkaian sistem pencerapan cuaca kita panggil sistem pencerapan cuaca yang mana kita ada 400 stesen automatik di seluruh negara yang menghantar cuaca kepada kita, boleh kata setiap minit kita dapat data itu.

Selain itu, kita juga ada sistem manual seperti stesen yang mencerap di pedalaman seperti kawasan Orang Asli dan sebagainya.

Kita juga ada sistem satelit yang cerap data satelit dari Jepun, China dan Amerika Syarikat. Data ini percuma.

Kita juga ada 12 rangkaian radar yang memantau kawasan yang berlaku hujan atau ribut petir. Kita jangka, pada 2023, kita akan ada 25 stesen ini di seluruh negara.

Untuk meramal cuaca, kita bukan hanya perlu data dalam negara, malah seluruh dunia.

Contoh, ketika monsun timur laut, kita dipengaruhi oleh cuaca dari China dan utara Asia. Ketika monsun barat daya pula, dari Australia dan lautan Hindi.

Data dari seluruh dunia ini kita dapat setiap jam. Begitu juga data dari lapangan terbang, kita kongsi dari seluruh dunia untuk digunakan oleh mereka.

Ia dimasukkan ke dalam komputer kita dan keluar dengan ramalan yang dijana oleh komputer.

CUACA mendung menyelubungi ruang udara serta hujan berhampiran Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah  atau dikenali Jambatan Kedua Pulau Pinang yang dirakamkan di Bayan Lepas pada 17 Mac lalu.
CUACA mendung menyelubungi ruang udara serta hujan berhampiran Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah atau dikenali Jambatan Kedua Pulau Pinang yang dirakamkan di Bayan Lepas pada 17 Mac lalu.

Cuaca juga menjadi topik di seluruh dunia, di Malaysia kita mula bercakap mengenai gelombang haba. Apa sebenarnya gelombang haba ini?

Untuk tahun ini alhamdulillah, kita cuma sampai tahap berjaga-jaga.

Maksudnya, suhu maksimum setiap hari iaitu 35 darjah Celsius hingga 37 darjah Celsius.

Bila cecah 37 darjah Celsius sehingga 40 darjah Celsius, kita panggil tahap gelombang haba, maknanya sangat panas sebenarnya.

Kalau lebih 40 darjah Celsius, kita panggil berbahaya. Setakat tahun ini kita belum ada tahap gelombang haba, cuma ada tahap berjaga-jaga di beberapa daerah terutama di Perak, Kedah dan Pahang.

Biasanya, ia berlaku daripada Februari hingga April, tetapi tahun ini, tiada lagi.

Setiap tahun akan berlaku perubahan cuaca dan kawasan mana biasanya akan terjejas?

Daripada segi suhu, utara Semenanjung seperti Kedah, Perlis, utara Perak selain pedalaman Pahang dan pedalaman Kelantan seperti Kuala Krai.

Ini biasa, suhu tinggi antara Mac hingga pertengahan April. Ia boleh mencapai sehingga lebih 37 darjah Celsius.

Di sebelah Kuala Lumpur, biasanya 36 darjah Celsius.

Daripada segi hujan atau pun cuaca lembab, kita biasa berdepan masalah di Pahang, Kelantan, Terengganu.

Tahun ini, kita lihat di Pahang, kawasan yang teruk dilanda bencana banjir ialah Raub.

Sebelum ini tidak pernah banjir, tetapi kali ini, Raub yang mula-mula dilanda banjir.

Kita sedang kaji mengapa Raub, sama ada perubahan muka buminya dan lain-lain.

Maksudnya Raub baru masuk dalam senarai kawasan terjejas?

Ya. Dulu Raub tidak seteruk ini. Contoh, Johor yang mana sudah lama tidak dilanda bencana yang teruk namun tahun ini, ia berlainan namun tidak seteruk 2006 dan 2007.

Kita bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sedang buat kajian berkaitan jumlah penduduk di Raub yang berpindah, tarikhnya dan lain-lain.

Kemudian kita bandingkan dengan hujan, angin, kedalaman banjir dan daripada situ, baru kita boleh buat kesimpulan mengapa Raub sebenarnya.

Nasihat kepada mereka yang berada di kawasan yang sering terkesan dengan perubahan cuaca?

Yang penting mereka perlu ada maklumat terkini dan sahih.

Kita ada myCuaca, dalam itu sebenarnya banyak maklumat. Kalau kita hendak memancing, dalam myCuaca kita boleh tengok kawasan mana yang hujan, jangan memancing di kawasan dilanda hujan lebat.

Jangan berada di kawasan terbuka seperti di padang bola serta golf ketika ribut petir.

Jika perlu berlindung, jangan berlindung di bawah pokok.

Sedikit mengenai Hari Meteorologi Sedunia bulan ini?

Sambutan ini disambut seluruh dunia tetapi tahun ini, kita ubah suai sambutan berikutan pandemik Covid-19.

Tema Hari Meteorologi Sedunia tahun ini ialah Lautan, Iklim dan Cuaca, jadi kita ada beberapa panel yang akan bercakap mengenai isu ini dan kita akan war-warkan menerusi Facebook, kita buat agak minimum.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mac 2021 @ 8:00 AM
Dalam tempoh 100 tahun, suhu di negara kita meningkat lebih kurang 1.6 hingga 1.8 darjah Celsius.28hm003d
Dalam tempoh 100 tahun, suhu di negara kita meningkat lebih kurang 1.6 hingga 1.8 darjah Celsius.28hm003d