FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) meramalkan tiada kemarau berlaku di negara ini berikutan pertembungan Monsun Barat Daya dan fenomena La-Nina ketika ini.

Ketua Pengarah METMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah berkata, berdasarkan tinjauan jangka panjang bermula Julai hingga Oktober ini, kebanyakan kawasan di Malaysia dijangka masih menerima hujan pada paras purata kecuali beberapa negeri seperti Kelantan dan Terengganu yang dijangkakan menerima hujan sedikit bawah purata.

Katanya, rekod suhu maksimum antara 1 Jun sehingga hari ini menunjukkan suhu tertinggi dicatatkan di beberapa kawasan hanya 36.5 darjah Celsius sahaja.

"Sebanyak 14 stesen di Semenanjung mencatat suhu lebih 35 darjah Celsius dengan suhu tertinggi dicatatkan di Stesen Mardi Jalan Kebun ialah 36.5 darjah Celsius pada 5 Julai lalu.

"Enam stesen di Sarawak pula mencatat suhu lebih 35 darjah Celsius dengan suhu tertinggi dicatatkan di Stesen Veterinar Bintangor pada 3 Julai iaitu 36.0 darjah Celsius.

"Selain itu, hanya empat stesen di Sabah mencatat suhu lebih 35 darjah Celsius dengan suhu tertinggi dicatatkan di Stesen Sindumin, Sipitang ialah 36.5 darjah Celsius pada 2 Julai lalu," katanya kepada Harian Metro.

Mengulas lanjut cuaca semasa negara, Muhammad Helmi berkata, negara pada masa ini berada dalam musim Monsun Barat Daya yang bermula pada 14 Mei lalu dan dijangka berterusan sehingga pertengahan September ini.

"Semasa tempoh Monsun Barat Daya, negara akan mengalami bilangan hari tanpa hujan lebih banyak daripada bilangan hari hujan.

"Bagaimanapun, hujan lebat berserta ribut petir dan angin kencang masih boleh berlaku berikutan adanya fenomena garis badai (squall line) di pantai barat Semenanjung dan barat Sabah pada awal pagi.

"Pada masa sama fenomena La-Nina juga sedang berlaku dan dijangka berterusan sehingga Disember ini.

"METMalaysia tidak menjangkakan keadaan kemarau boleh berlaku di Malaysia," katanya.

Katanya, METMalaysia sentiasa memantau keadaan cuaca di seluruh negara dan akan mengeluarkan Nasihat Cuaca Panas jika bacaan suhu maksimum harian melebihi 37 darjah Celsius untuk sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

"Orang ramai disarankan supaya sentiasa peka dengan perubahan cuaca serta mendapatkan maklumat dan amaran cuaca terkini melalui laman web rasmi, aplikasi myCuaca dan media sosial METMalaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Julai 2022 @ 4:07 PM