BANTUAN tunai GKP menjadi penyelamat dan memberi nafas baharu kepada PKS meneruskan perniagaan mereka yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19.
BANTUAN tunai GKP menjadi penyelamat dan memberi nafas baharu kepada PKS meneruskan perniagaan mereka yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19.
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Bantuan tunai Geran Khas Prihatin (GKP) secara tiga peringkat menjadi penyelamat kepada kelangsungan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro di negara ini.

Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE), Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Anuar Shah Bali Mahomed berkata, inisiatif itu meringankan beban PKS yang berdepan masalah pusingan modal, perniagaan terjejas selain pendapatan berkurangan kesan daripada penularan Covid-19.

"Bantuan GKP penyelamat dan memberi nafas baharu kepada PKS meneruskan perniagaan mereka yang terjejas.

"Bantuan berterusan secara berperingkat sejak Jun lalu diikuti GKP 2.0 dan GKP 3.0 sebagai tambahan, membuktikan kerajaan serius meringankan beban dialami PKS.

"Dengan adanya bantuan itu, ia menyuntik modal pusingan untuk mereka gunakan ketika pendapatan terjejas teruk," katanya.

Apa yang membanggakan, katanya, inisiatif kerajaan membantu PKS bangkit semula selepas terkesan dengan Covid-19 ini mendapat perhatian pihak luar terutama kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang berminat menimba pengalaman dengan Malaysia.

"Bukan mudah sesuatu kerajaan memberi dana secara berterusan selama setahun dalam tempoh sukar ini, tetapi Malaysia berjaya melaksanakannya.

"Malah, inisiatif ini juga dilihat orang luar apabila pemimpin negara Islam di UAE berminat mempelajari bagaimana kita melaksanakan semua pelan rangsangan ekonomi termasuk GKP ini menyelamatkan usahawan," katanya.

Menurutnya, kerajaan juga boleh menyediakan bantuan tambahan khas untuk membantu usahawan PKS yang mahu beralih ke plaform e-dagang.

"Walaupun memang ada pelan khas di bawah MyDigital namun saya berharap kerajaan dapat salurkan bantuan khas tambahan selepas ini khusus untuk perniagaan secara dalam talian.

"Ini kerana ramai orang sudah beralih kepada perniagaan dalam talian jadi bantuan khas itu mungkin boleh dijadikan bantuan modal membeli perkakas serta peranti untuk mereka," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan PKS Malaysia Datuk Michael Kang Hua Keong berkata, inisiatif kerajaan bernilai keseluruhan RM3.58 bilion itu langkah tepat kerajaan membantu kelangsungan 900,000 PKS mikro.

"Inisiatif GKP ini, sangat bagus kerana ia memberi kesan positif terutama kepada aliran tunai dan menampung kelangsungan operasi perniagaan mereka.

"Tanpa suntikan bantuan seumpama ini, pasti ramai PKS gulung tikar kerana impak buruk Covid-19 yang menjejaskan pendapatan perniagaan mereka," katanya.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan semua PKS mikro yang lulus di bawah GKP 1.0 dan GKP 2.0 sebelum ini layak menerima bayaran GKP Tambahan mulai 25 Mac 2021.

Inisiatif di bawah Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) itu membabitkan bantuan kewangan bernilai RM1,000 kepada PKS mikro di 12 negeri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa Januari dan Februari lalu serta RM500 kepada PKS mikro di negeri bukan PKP.

INFOGRAFIK
INFOGRAFIK

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mac 2021 @ 8:00 AM