NORA bersama produk kek keluarannya. FOTO Ihsan Nora Gimon
NORA bersama produk kek keluarannya. FOTO Ihsan Nora Gimon
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Walaupun Bantuan Geran Khas Prihatin (GKP) 4.0 tidaklah besar, peniaga perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro tetap bersyukur, sekurang-kurangnya ia dapat menambah modal.

GKP 4.0 di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) akan disalurkan bermula Selasa ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini dilaporkan berkata, bayaran GKP 4.0 akan dibayar dua kali iaitu pada September berjumlah RM500 dan baki RM500 pada November.

Mengulas mengenainya, pengusaha PKS Nora Gimon, 38, yang sudah lapan tahun mengusahakan perniagaan bidang bakeri berkata, bantuan secara berkala diberikan kerajaan itu dapat membantu menambah modal.

"Kalau ikutkan cukup, memanglah tak cukup. Tetapi kita tahu ia sebagai bantuan dan buat tambahan modal bulanan khususnya musim pandemik Covid-19 ini.

"Nak harapkan RM500 itu sahaja memang tak mencukupi modal jualan bulanan. Namun apa pun, pada saya okay sebab sudah ada bantuan secara berkala yang kerajaan bagi, asalkan kita pandai agihkan ikut keperluan," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Beliau turut berpandangan, antara cara bangkit semula selepas pandemik yang menyuramkan bagi sektor niaga ialah bijak serta tidak membazir dalam menggunakan modal.

"Caranya, modal jangan boros. Memang perlu simpan asing untuk modal. Bantuan GKP 1.0 hingga GKP 4.0 saya pusing dalam modal. Sangat membantu.

"Lagi satu, sentiasalah cari produk yang boleh jalan walaupun sedikit asalkan konsisten," katanya.

Inisiatif GKP 4.0 adalah membabitkan penerima sedia ada GKP 1.0, GKP 2.0, GKP 3.0 dan penerima baharu GKP 4.0.

Bantuan berkenaan yang keseluruhannya berjumlah RM500 juta, akan memberi memberi manfaat kepada satu juta PKS mikro.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 September 2021 @ 5:05 PM