ANTARA pendatang asing yang berjaya ditahan daripada menceroboh tanah air melalui Op Benteng.
ANTARA pendatang asing yang berjaya ditahan daripada menceroboh tanah air melalui Op Benteng.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Tidak kenal erti serik! Biarpun operasi Op Benteng giat dilakukan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac tahun lalu namun tekong laut dan darat sedikitpun tidak gerun dengan tindakan keras dikenakan.

Ini terbukti apabila pihak keselamatan masih menahan berpuluh pendatang asing tanpa izin (Pati) yang 'selamat' tiba di negara ini setiap hari tanpa istilah 'rehat.'

Kegiatan jenayah rentas sempadan dan penyeludupan manusia didalangi pengkhianat negara ini jelas tiada 'noktah' berikutan ia memberikan pulangan lumayan kepada sindiket.

Mereka dikesan menggunakan lebih 100 modus operandi berbeza untuk setiap kawasan bagi mengelakkan dihidu pihak berkuasa.

Lebih menyukarkan apabila sindiket penyeludupan ini juga dibantu penduduk tempatan dan nelayan turut mencipta laluan tikus baru bagi kegunaan mereka.

Malah, peningkatan harga 'perkhidmatan' mencecah RM16,000 bagi satu kepala warga asing yang mahu masuk ke negara ini sedikitpun tidak mengurangkan jenayah pemerdagangan manusia serta penyeludupan migran ini.

Mendedahkan perkara itu, Komander National Task Force (NTF) Laksamana Madya Datuk Aris Adi Tan berkata, pihaknya juga mengesan faktor lain yang menyebabkan warga asing tetap cuba untuk masuk ke negara ini walaupun kawalan ketat Op Benteng dilakukan.

"Antaranya adalah faktor penarik dan tekanan di negara mereka sendiri akibat kesempitan dan kesusahan menyebabkan mereka ini sedaya upaya mahu masuk ke Malaysia.

"Selain itu terdapat permintaan terhadap warga asing menyebabkan sindiket penyeludupan tidak pernah serik walaupun penahanan dilakukan pada setiap hari," katanya ketika ditemui Harian Metro.

Beliau berkata, ekoran kawalan ketat dilakukan di sempadan negara menerusi Op Benteng yang dijalankan sejak tahun lalu, sindiket juga dikesan menaikkan caj kepada warga asing yang mahu masuk ke negara ini secara haram.

"Jika dahulu sindiket yang membawa masuk warga Rohingya mengenakan caj RM12,000 namun kini caj berkenaan meningkat sehingga RM16,000 bagi satu kepala.

"Bagi warga asing dari negara jiran (Indonesia) pula, caj yang dikenakan mencecah RM3,000 bagi satu kepala jika dibandingkan sebelum pelaksanaan Op Benteng apabila sindiket hanya mengenakan caj RM2,000 seorang," katanya.

Menurutnya, pihaknya turut mengesan enam paksi utama ancaman kemasukan warga asing di negara ini antaranya ancaman dari utara iaitu di Pulau Langkawi.

"Selain itu ancaman turut dikesan datang dari Selangor, kemudian Johor, Kelantan, Sabah dan Sarawak. Ini antara cabaran yang terpaksa dilalui namun NTF sentiasa bersiap siaga.

"Pasukan keselamatan juga mengenal pasti laluan masuk Pati popular iaitu di kawasan utara Pulau Langkawi di Kedah, selatan Kuala Selangor, Selangor ke Tanjung Piai, Johor dan tenggara Johor," katanya.

Aris Adi berkata, lorong tikus di Malaysia dibahagikan kepada tiga kategori iaitu laluan yang mempunyai rekod tangkapan sebelum ini tetapi aktif; laluan pernah digunakan sebelum ini namun kurang aktif dan laluan tidak aktif dan dianggap jalan terakhir jika laluan satu dan dua dikawal ketat pihak berkuasa.

"NTF juga membuat pemantauan kira-kira 500 laluan tikus masing-masing di Sabah dan Sarawak yang dijadikan laluan untuk membawa masuk Pati.

"Petugas keselamatan membabitkan polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan pelbagai agensi lain bertugas 24 jam setiap hari di kawasan-kawasan yang dikenal pasti sebagai laluan masuk Pati," katanya.

Tegasnya, walaupun perairan negara ini luas, ia tidak mematahkan komitmen NTF untuk membanteras kegiatan pencerobohan PATI sehingga ke akar umbi.

"Usaha ini bukan hanya bertujuan menghentikan lambakan pendatang haram di negara ini namun bertujuan menyekat penularan Covid-19 dari mana-mana negara jiran ke negara ini," katanya.

NTF membuat pemantauan kira-kira 500 laluan tikus masing-masing di Sabah dan Sarawak yang dijadikan laluan untuk membawa masuk Pati.
NTF membuat pemantauan kira-kira 500 laluan tikus masing-masing di Sabah dan Sarawak yang dijadikan laluan untuk membawa masuk Pati.

Op Benteng berkesan halang Pati

Kuala Lumpur: Gerakan Op Benteng yang diperkenalkan sejak sembilan bulan lalu terbukti berkesan menghalang keluar masuk pendatang asing tanpa izin (Pati) di sempadan negara.

Ini dibuktikan hasil pelbagai kejayaan yang diraih menerusi operasi itu terutama tangkapan Pati pada setiap hari.

Komander National Task Force (NTF) Laksmana Madya Datuk Aris Adi Tan berkata, sehingga 15 Februari lalu sebanyak 17,690 tangkapan dilakukan membabitkan Pati, tekong, penyeludup, rampasan kapal dan bot serta kenderaan darat dilakukan.

"Daripada jumlah itu, 907 tekong darat dan laut berjaya ditahan sejak Op Benteng diperkenalkan, selain tangkapan 11,861 Pati yang masuk secara haram serta 1,195 orang Pati diusir keluar.

"Bagi penyeludup pula, seramai 494 individu ditangkap cuba menyeludup masuk barangan atau membawa keluar dari negara ini," katanya.

Menurutnya, sejak awal operasi Op Benteng dilakukan sehingga kini, sebanyak 19,244 kapal dan bot dikesan dalam kawasan perairan negara.

"Pasukan keselamatan turut mengusir 606 kapal dan bot selain menahan 310 bot serta kapal.

"Melalui Op Benteng, kami turut merampas 1,387 kenderaan darat menerusi sekatan jalan raya (SJR) Op Benteng dilakukan.

"Sejak sembilan bulan dilaksanakan, saya mendapati Op Benteng sangat berkesan walaupun terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran," katanya

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam satu kenyataannya memaklumkan pengurusan sempadan darat dan laut pada tahun ini akan diperkukuhkan melalui pendekatan lima sempadan hadapan (five-front approach) iaitu sempadan utara Kedah, sempadan utara Kelantan, Selatan, Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, keperluan untuk pembinaan pagar sempadan, penggunaan teknologi terkini seperti CCTV (sistem kamera keselamatan litar tertutup), radar serta dron dan pembinaan pos kawalan akan dilakukan.

"Antara pencapaian pada tahun lalu adalah pelaksanaan Pelan Rekalibrasi pendatang tanpa izin membabitkan dua program iaitu Rekalibrasi Pulang dan Rekalibrasi Tenaga Kerja, antara lain bertujuan merekodkan data pendatang tanpa izin dan mengekang penularan Covid-19 dalam kalangan mereka," katanya.

Sehingga 31 Disember 2020, sebanyak 6,634 operasi ke atas pendatang tanpa izin dilaksanakan dengan seramai 22,522 orang pendatang tanpa izin dan 387 majikan ditahan.

Sepanjang tahun lalu, katanya, Jabatan Imigresen (JIM) berjaya menumpaskan 11 sindiket berkaitan pendatang asing tanpa izin dan jenayah rentas sempadan manakala seramai 111 orang dalang dan ahli sindiket daripada pelbagai warganegara ditahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mac 2021 @ 1:00 PM