GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Seramai 497 pendatang asing tanpa izin (Pati) dan 28 tekong darat ditahan manakala 56 pengusiran dilaksanakan di Sarawak menerusi Op Benteng sejak 1 Mei hingga Ahad lalu.

Markas Angkatan Tentera dalam satu kenyataan berkata, daripada 497 Pati ditahan itu, 459 adalah warga Indonesia dan selebihnya dari Filipina, Bangladesh, Thailand, India, Vietnam dan Myanmar.

Menurutnya, tekong darat pula terdiri daripada lima tekong tempatan dan 23 warga Indonesia.

"Sebagai langkah menangani penularan pandemik Covid-19 membabitkan Pati, Panglima Angkatan Tentera menegaskan Op Benteng di bawah National Task Force (NTF) yang dikoordinasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai agensi peneraju sentiasa meningkatkan kesiagaan kawalan sempadan di Sarawak baik persempadanan maritim mahupun daratan.

"Aspek kesiagaan ini diberi perhatian terutama melihat kepada situasi peningkatan pandemik Covid-19 di Sabah," katanya.

Katanya, kawalan ini memberi tumpuan kepada lorong tikus menjadi hot spot laluan Pati yang cuba masuk dan keluar dari Sarawak.

"Penugasan NTF di Sarawak meliputi aturgerak Komponen Maritim membabitkan lapan sektor rondaan maritim.

"Melalui kawalan persempadanan daratan Sarawak-Kalimantan, Op Benteng diperkasakan dengan operasi sedia ada," katanya.

Menurutnya, masyarakat terutama di Sarawak digesa untuk bekerjasama dalam menyalurkan sebarang maklumat berkenaan Pati, aktiviti penyeludupan, pencerobohan sempadan atau sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan melalui talian hotline Pusat Operasi NTF 011-6251 1223.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2020 @ 10:55 AM