Amir Abd Hamid dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Kes baharu Covid-19 di negara ini mencatatkan penurunan iaitu 2,764 kes dengan 13 kematian, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Malaysia meningkat kepada 248,316 kes dengan kebolehjangkitan 51,241 kes.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan kes sembuh sebanyak 3,887 kes menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 196,566 kes.

"Daripada 2,764 kes baharu berkenaan, terdapat enam kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan dalam negara pula adalah 2,758 kes.

"Selangor melaporkan kes harian tertinggi iaitu 862 kes (31.2 peratus) membabitkan 668 kes (77.5 peratus) daripada kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

"Ini diikuti Johor sebanyak 521 kes (18.8 peratus) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 422 kes (15.3 peratus).

KETUA Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
KETUA Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. FOTO MOHD FADLI HAMZAH

"Sebanyak 51 kes (1.8 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara yang membabitkan Kluster Tembok Sungai Udang (27 kes), Kluster Tembok Renggam (9 kes), Kluster Tembok Pengkalan Chepa (8 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (4 kes), dan Kluster Tembok Bukit Besi (3 kes)," katanya pada sidang media perkembangan Covid-19, hari ini.

Beliau berkata, terdapat pertambahan 13 kematian hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian adalah 909 kes atau 0.36 peratus.

Menurutnya, sehingga kini terdapat 289 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 127 kes memerlukan bantuan pernafasan.

"KKM turut mengesan 12 kluster baharu iaitu Kluster Tapak Bina Persiaran Puteri, Kluster Kejuruteraan Subang Baru, Kluster Industri Mahkota, Kluster Senai City Lapan, Kluster Besi Cyber dan Kluster Jalan Parit Mesjid.

"Selain itu, Kluster Jalan Cyber 14, Kluster Tapak Bina Jalan Pantai, Kluster Jalan Budiman, Kluster Dialisis Masjid Tanah, Kluster Hulu Jerocco dan Kluster Lengkok Emas," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Februari 2021 @ 7:04 PM