Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Kerajaan bersetuju membuka baki keseluruhan sektor perniagaan peruncitan bermula esok bagi memastikan kelangsungan ekonomi khususnya kepada peniaga kecil.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sektor berkenaan adalah kedai pakaian, fesyen dan aksesori, kedai kasut, kedai barang fotografi, perkhidmatan fotografi, barangan terpakai, kedai bunga atau nurseri serta kedai antik.

"Selain itu, kedai kraftangan dan cenderahati, kedai alat permainan permaidani, kandungan kreatif, 'outdoor' dan peralatan sukan.

"Kita juga membenarkan barangan rumah dan peralatan dapur, kedai kosmetik, penjagaan kulit dan minyak wangi, kedai tembakau, kedai aksesori kenderaan serta Ar Rahnu beroperasi," katanya dalam sidang media harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hari ini.

Katanya, pembukaan sektor itu membabitkan prosedur operasi standard (SOP) seperti proses nyah kuman dan pembersihan dilakukan tiga kali sehari dalam tempoh operasi.

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

"Mewajibkan pekerja dan pelanggan memakai pelitup muka semasa berada di dalam premis.

"Pelanggan dengan suhu 37.5 darjah Celsius dan ke atas tidak dibenarkan untuk masuk ke dalam premis, cecair pembasmi kuman tangan disediakan di pintu masuk dan dipastikan penggunaannya sebelum masuk ke premis.

"Memastikan kawalan keluar masuk pelanggan ke premis serta kehadiran pekerja dan pelanggan direkodkan secara manual atau aplikasi MySejahtera," katanya.

Ismail Sabri berkata, selain itu pelanggan digalakkan membuat bayaran secara elektronik.

"Bagi kedai pakaian, pemilik premis perlu menyediakan sarung tangan pakai buang kepada pelanggan untuk memilih pakaian.

"Bagi kedai kosmetik, penjagaan kulit dan minyak wangi, hanya aktiviti jual beli sahaja dibenarkan manakala rundingan secara bersemuka serta penggunaan 'cosmetic testers' tidak dibenarkan," katanya.

Katanya, bagi kedai barang dan perkhidmatan fotografi, penggunaan studio hanya membabitkan seorang pelanggan dan jurugambar sahaja. "Bagaimanapun, penggunaan studio penggambaran (kecuali perkhidmatan gambar passport, visa dan lesen) adalah tidak dibenarkan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Februari 2021 @ 6:26 PM