FIZO OMAR
FIZO OMAR
Najiy Jefri

PELAKON Fizo Omar kehilangan lebih 5,000 pengikut di Instagram gara-gara menjayakan watak antagonis, Ikram dalam drama, Adellea Sofea yang ditayangkan di slot Akasia, TV3.

Fizo berkata, penangan watak Ikram yang dilakonkan benar-benar memberi kesan terhadap jiwa penonton.

“Penangan Ikram, lebih 5,000 ‘unfollow’ saya di Instagram. Pengarah, Shahrulezad gelakkan saja.

“Kepada yang sudah ‘unfollow’ jangan emosi sangat. Nanti drama sudah habis, anda boleh ‘follow’ saya semula. Lagi dua hari saja, lepas itu saya bertaubat sudah.

“Saya juga sanggup berubah kalau dapat Sofea. Ini semua Abang Shahrulezad punya fasal. Terima kasih sebab sudah ‘menghidupkan’ Ikram sehingga menjadi jahat dan mengasah bakat saya di lokasi,” katanya.

PAPARAN skrin perbualan Whatsapp  antara Fizo dan Shahrulezad.
PAPARAN skrin perbualan Whatsapp antara Fizo dan Shahrulezad.

Perkara itu didedahkan Fizo menerusi paparan skrin perbualan Whatsapp dengan pengarah drama itu.

Dalam perbualannya itu, Shahrulezad berkata, terdapat penonton yang marah sehingga mengaitkan dengan kisah peribadi Fizo.

Sementara itu, Shahrulezad menerusi Instagram pula berkata, kebanyakan pelakon memperoleh pengikut yang ramai selepas drama yang dibintangi mendapat sambutan, namun sebaliknya berlaku kepada Fizo.

“Nasib Fizo. Orang lain berlakon drama meletup beribu-ribu pengikut, dia pula beribu peminat ‘unfollow’ sebab benci. Peminat pun alahai, emosi tak bertempat,” katanya.

Selain Fizo, drama terbabit turut dibintangi pelakon Mira Filzah, Ungku Ismail, Bella Dally dan Jasmine Suraya.

Drama Adellea Sofea bersiaran setiap hari Isnin sehingga Jumaat, jam 7 malam di TV3.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 January 2020 @ 7:20 PM