ELISYA guna khidmat jurulatih supaya tak nampak kekok lakon watak pemain boling.
ELISYA guna khidmat jurulatih supaya tak nampak kekok lakon watak pemain boling.
Syafil Syazwan Jefri


TUGAS dan tanggungjawab sebagai seorang pelakon hadir dengan cabaran dan pengalaman baharu.

Bagi pelakon Elisya Sandha, Drama terbaharu lakonannya, Ratu Ten Pin menjadi ruang untuknya mencuba sesuatu yang luar daripada kotak keselesaannya sebagai pelakon.

Memegang watak sebagai Norma, Elisya yang sebelum ini bukan peminat sukan boling kini mula jatuh cinta dengan sukan itu.

"Sejujurnya, saya tak ada pengalaman dan ilmu langsung dalam sukan boling ini.

"Jadi, bagi menjayakan watak sebagai Norma, saya gunakan khidmat jurulatih supaya tak nampak kekok.

"Bila dah belajar bermain boling dengan betul, baru saya tahu bahawa ia adalah sukan yang sangat menarik," katanya.

Satu lagi cabaran besar buat Elisya adalah kerana gandingannya dalam drama Ratu Ten Pin itu adalah bekas pemain boling negara, Syaidatul Afifah.

"Gandingan saya dalam drama ini adalah Afifah dan Fify Azmi. Saya rasa ramai sedia maklum bahawa Afifah adalah bekas atlet negara.

"Untuk menampakkan saya setaraf dengannya dalam drama ini, saya kena ambil inisiatif sendiri dan menjalani latihan.

SESI perbincangan dengan Shalin.
SESI perbincangan dengan Shalin.

"Cabaran besar buat saya adalah tempoh masa yang terlalu singkat untuk sesi latihan.

"Namun, kami tetap mencuri masa dan cuba menyusun jadual latihan sebaik mungkin lebih-lebih lagi dalam situasi pandemik seperti sekarang," katanya

Berkongsi mengenai pengalaman menarik saat menjalani penggambaran Ratu Ten Pin, Elisya juga berterima kasih kepada ratu boling negara, Shalin Zulkifli.

"Kehadiran Shalin juga banyak membantu kami di set penggambaran. Dia membuatkan saya rasa seperti saya dapat melakukannya walaupun saya tak ada sebarang pengalaman," katanya.

Bekerja dengan bakal mentua

Berkongsi pengalaman menjalani penggambaran bersama bakal mentua iaitu Sheila Rusly dan Jinggo, Elisya berkata, dia tetap menjalankan tugasnya sebagai pelakon yang bekerja.

"Perasaan gementar memang ada, tapi saya tetap bekerja sebagai pelakon yang profesional.

"Kalau ada kesalahan dan kesilapan, mama (Sheila) akan tegur sebab itu memang penting untuk menjaga kualiti lakonan dan jalan cerita drama itu," katanya.

Ditanya sama ada dia akan hanya berlakon di bawah payung JS Pictures sahaja selepas ini, Elisya terbuka untuk menerima apa juga tawaran.

ELISYA menjalani latihan sebagai pemain boling.
ELISYA menjalani latihan sebagai pemain boling.

"Tentunya saya akan menerima apa juga tawaran lakonan.

"Apa pun, saya nak ucapkan terima kasih kepada JS PIctures kerana memberi peluang kepada saya untuk mempelbagaikan watak," katanya.

Dalam sesi temu bual sama, Elisya juga sempat mengulas pertanyaan media mengenai persiapan perkahwinannya dengan tunang, Uzair Hakimi yang juga anak Sheila dan Jinggo.

"Buat masa ini semua persiapan tergantung seketika. Selepas kita selesai dengan 'lockdown', kami akan fokus kepada kerja semula kerana banyak kerja yang tertangguh," katanya.

Drama Ratu Ten Pin menampilkan Elisya, Afifah, Fify, Hazeeq Dean, Nazim Othman, Sheila Rusly, Nasz Sally, Eizlan Yusof, Aleeza Kasim, Esma Daniel dan Lisdawati.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Julai 2021 @ 6:00 AM