Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Bayi diberi minum kopi manakala dua lagi anak hanya menjamah kepingan biskut bagi mengalas perut ketika terputus bekalan makanan selama dua hari.

Manakala S Ganesh, 34, dan isteri, Parameswari, 32, terpaksa berlapar kerana sudah tidak mempunyai wang dan makanan.

Kisah sedih lima beranak ini bermula selepas rumah mereka di Lebuh Carnavon, di sini, terbakar pada 6 April lalu menyebabkan mereka sekeluarga tinggal sehelai sepinggang.

Sejak itu Parameswari yang hamil anak ketiga terpaksa berumah di dalam kereta bersama suami dan anak Girthikanesh, 8, dan Devi Shri, 6, dengan menjadikan tandas awam di beberapa lokasi bagi membersihkan diri serta mendapatkan sumber air.

"Sehinggalah dua minggu kemudian, saya melahirkan anak ketiga, Kirthana dan menjalani proses berpantang di dalam kereta.

"Kirthana yang kini berusia lapan bulan diberi susu badan namun pernah saya terpaksa beri dia minum air suam dan air kopi kerana tidak sanggup melihat dia kelaparan," katanya ketika ditemui di Jalan Sepoy Lines, di sini, hari ini.

Sementara itu Ganesh berkata, setiap hari mereka hanya mengalas perut dengan mi segera atau kuih berasaskan tepung dimasak menggunakan dapur kecil.

S GANESH (kiri) memasak sesuatu untuk keluarganya yang terpaksa tidur dan tinggal dalam kereta selepas rumah kediamannya terbakar ketika ditemui di Jalan Sepoy Lines. FOTO DANIAL SAAD
S GANESH (kiri) memasak sesuatu untuk keluarganya yang terpaksa tidur dan tinggal dalam kereta selepas rumah kediamannya terbakar ketika ditemui di Jalan Sepoy Lines. FOTO DANIAL SAAD

Katanya, wang gaji sebanyak RM1,200 sebulan sebagai pengawal keselamatan digunakan sebaiknya bagi membeli lampin pakai buang, mengisi minyak kereta dan membaiki kerosakan kereta milik ibunya itu.

"Hendak menyewa rumah tetapi ia memerlukan pembayaran deposit yang tinggi dan kami tiada wang sebanyak itu.

"Kami sudah dua kali memohon menyewa unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) namun masih tiada jawapan daripada kerajaan negeri.

"Saya mempunyai tiga beradik namun tidak mahu menyusahkan mereka kerana saya faham mereka juga bergelut dengan kesempitan hidup pada masa ini," katanya lagi.

Keluarga malang itu terdahulu menerima kunjungan Persatuan Hindu Pulau Pinang dan hadir sama ialah Presidennya, P Murugiah.

Murugiah berkata, pihaknya kini berusaha memberi sumbangan makanan kepada keluarga berkenaan sejak empat hari lalu.

"Kita juga akan membiayai kos penginapan di hotel bajet sehingga permohonan bagi menyewa rumah PPR diluluskan," katanya.

Orang ramai yang mahu menyalurkan bantuan boleh menghubungi Ganesh di talian 011-36779438.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Disember 2020 @ 2:16 PM