Nur Izzati Mohamad


Georgetown: Nasib lima beranak yang menjadikan kereta sebagai tempat berteduh selepas rumah mereka terbakar, lima bulan lalu terbela selepas kerajaan negeri meluluskan permohonan mereka mendapatkan seunit Projek Perumahan Rakyat (PPR).

S Ganesh, 34, berkata, dia bersyukur dan gembira menerima perkhabaran itu kerana akhirnya dapat memberikan kediaman lebih selesa buat isteri, Parameswari, 32, dan tiga anak mereka, Girthikanesh, 8, Devi Shri, 6, dan Kirthana berusia lapan bulan.

Dia juga berterima kasih atas keprihatinan semua pihak yang tampil membantu meringankan beban mereka.

"Selepas kisah saya mendapat liputan media, pelbagai pihak tanpa mengira latar belakang datang menghulurkan bantuan.

"Kini permohonan saya untuk mendapatkan PPR juga diluluskan dan saya amat terharu dengan segala bantuan serta sumbangan," katanya ketika ditemui di PPR Padang Tembak di sini, hari ini.

Buat masa ini, Ganesh dan keluarganya akan tinggal sementara di unit bencana PPR Padang Tembak sehingga kediamannya di blok berhampiran selesai dibaiki.

Dia juga dibenarkan untuk tidak membayar sewa selama dua bulan.

Media kelmarin melaporkan lima beranak itu terpaksa 'berumah' di dalam kereta berikutan rumah yang didiami di Lebuh Carnavon terbakar dalam kejadian pada 6 April lalu.

Ganesh yang bekerja sebagai pengawal keselamatan pada waktu malam pernah terputus bekalan makanan selama dua hari kerana tiada wang, malah kesemua anaknya hanya diberi minum air kosong dan air kopi selain makan biskut bagi mengalas perut.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, Ganesh sebelum ini pernah ditawarkan sebuah unit PPR selepas rumahnya terbakar namun difahamkan menolak tawaran itu atas sebab-sebab tertentu.

JAGDEEP Singh Deo (kanan) melawat lima beranak yang terpaksa berteduh di dalam kereta di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Padang Tembak, Georgetown. FOTO Nur Izzati Mohamad
JAGDEEP Singh Deo (kanan) melawat lima beranak yang terpaksa berteduh di dalam kereta di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Padang Tembak, Georgetown. FOTO Nur Izzati Mohamad

"Pada April lalu saya difahamkan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menawarkan kepada Ganesh untuk menduduki PPR di bawah unit bencana namun dia menolak.

"Namun Rabu lalu, Ganesh membuat permohonan untuk mendiami PPR dan kerajaan negeri terus meluluskannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Disember 2020 @ 2:18 PM