NORIHAN (kiri) bersama kakitangan JKM menyerahkan sumbangan kepada Ganesh. FOTO DANIAL SAAD
NORIHAN (kiri) bersama kakitangan JKM menyerahkan sumbangan kepada Ganesh. FOTO DANIAL SAAD
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: "Terima kasih kepada yang membantu, sudah lapan bulan tinggal dalam kereta, akhirnya dapat merasa tidur di rumah."

Begitu kata G Ganeson, 36, yang 'berumah' di dalam kereta bersama isteri, Parameswari, 32, dan tiga anak, Girthikanesh (8) dan Devi Shri (6) dan Kirthana berusia lapan bulan.

Ia susulan keluarga berkenaan menerima bantuan rumah sewa dan peralatan dapur, hari ini.

Kisah keluarga malang itu mendapat perhatian orang ramai yang tampil memberi pelbagai sumbangan.

"Tidak perlu lagi tidur di dalam kereta dan pergi ke tandas awam bagi mandi dan membersihkan diri.

"Terima kasih di atas semua sumbangan," katanya.

Harian Metro hari ini melaporkan lima beranak berkenaan terpaksa tinggal di dalam kereta selepas rumah mereka terbakar pada 6 April lalu.

Ganesh yang bekerja sebagai pengawal keselamatan pada waktu malam pernah terputus bekalan makanan selama dua hari kerana tiada wang.

Kesemua anak mereka hanya diberi minum air kosong dan air kopi selain makan biskut bagi mengalas perut.

Keluarga itu turut menjadikan tandas awam di beberapa lokasi sekitar bandar raya ini untuk membersihkan diri.

Terdahulu, Ganesh turut dikunjungi kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pulau Pinang Daerah Timur Laut diketuai Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat, Norihan Ishak bagi menyerahkan bakul makanan.

"Siasatan secara terperinci sedang dijalankan dan JKM akan mempertimbangkan skim bantuan kewangan yang sesuai kepada Ganesh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Disember 2020 @ 10:43 PM