KENDERAAN diparkir berlapis-lapis di tempat letak kereta di PPR Pantai Ria, Kuala Lumpur.
KENDERAAN diparkir berlapis-lapis di tempat letak kereta di PPR Pantai Ria, Kuala Lumpur.
Mahaizura Abd Malik dan Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Ibarat perangkap api apabila Perumahan Awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di ibu negara didapati tidak dilengkapi dengan peralatan memadam kebakaran atau tidak berfungsi dengan baik sehingga boleh mengundang risiko kepada penduduk.

Malah, masalah ini turut berkait rapat dengan akses laluan yang terhad untuk memasuki ke kawasan perumahan itu apabila kenderaan diletakkan secara berlapis hingga menghalang dan menutup laluan.

Untuk melihat sendiri kebenarannya, Harian Metro meninjau beberapa PA dan PPR terbabit dengan pemerhatian mendapati kenderaan diparkir di kiri kanan jalan.

Kenderaan juga diletakkan secara berlapis-lapis di tempat letak kereta sehingga menyukarkan kenderaan lain melalui jalan itu.

Apa yang membimbangkan, senario ini memberi risiko kepada penduduk apabila tiada laluan khas untuk jentera Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mahupun ambulans sekiranya berlaku kecemasan.

Ikuti perkongsian penduduk yang terpaksa melalui pelbagai kesulitan disebabkan isu yang tiada kesudahan ini.

KISAH 1

"Sampai terpaksa membuat pengumuman dalam grup WhatsApp dan menggunakan pembesar suara surau bagi memanggil penduduk mengalihkan kenderaan mereka."

Itu situasi yang berlaku di PPR Pantai Ria apabila kenderaan diparkir berlapis-lapis sehingga menghalang laluan keluar masuk kenderaan lain.

Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Pantai Ria, Zakaria Othman berkata, kawasan parkir disediakan tidak mencukupi untuk menampung keperluan 1,260 unit rumah membabitkan empat blok di situ.

Malah memburukkan keadaan katanya, kawasan itu juga dijadikan laluan alternatif orang luar untuk pergi ke Kampung Pasir, Jalan Klang Lama dan Petaling Jaya.

"Kawasan sini sering dijadikan laluan pintas orang luar untuk mengelak kesesakan trafik dan mengelak membayar tol.

"Biasanya jalan ini akan sesak pada waktu puncak ketika orang pergi dan balik bekerja serta sekolah.

"Penduduk pula terpaksa parkir sehingga lima lapis kerana kawasan perumahan ini sangat padat kerana setiap rumah ada lebih satu keluarga dan ada lebih sebuah kenderaan," katanya.

Menurutnya, kenderaan lama yang tersadai juga tidak dialihkan biarpun sudah diadukan kepada wakil rakyat atau Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Memang ada parkir khas untuk kenderaan bomba dan ambulans tetapi kalau jalan sempit sebab masalah parkir berlapis, maka mereka juga tidak dapat lalu.

"Isu ini berkait rapat dengan kereta lama tersadai yang menambahkan lagi masalah kekurangan parkir. Satu lagi isu apabila parkir kereta berlapis-lapis.

"Mereka tidak tinggalkan nombor telefon kerana kereta diletakkan dalam keadaan ditarik brek tangan. Ini menimbulkan masalah kepada orang hendak keluar... sampai ada bergaduh-gaduh," katanya.

Katanya, DBKL perlu tegas selain menguatkuasakan undang-undang atau mengambil tindakan kepada kenderaan menghalang laluan dan perlu membina parkir bertingkat bagi menyelesaikan isu terbabit.

"Memang dulu kita pernah cadangkan buat parkir bertingkat di dataran kosong di perumahan ini lengkap dengan kamera litar tertutup (CCTV) dan dewan.

"Tetapi isunya, ada segelintir penduduk pula tidak mahu membayar sewa bulanan (bayaran penyelenggaraan) sebanyak RM60 sehingga menyebabkan cadangan ini terbantut sampai sekarang.

"Bagi kami, DBKL sepatutnya perlu lebih tegas supaya semua penduduk mahu tidak mahu akan bersetuju dengan rancangan ini demi keselesaan dan kemudahan semua pihak," katanya.

KISAH 2

Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Kampung Baru Air Panas, Muhamad Faidzal Ibrahim mendedahkan sebuah rumah di salah sebuah blok di kawasannya pernah terbakar sebelum kejadian di Flat Sri Sabah, Cheras pada Februari lalu.

Menurutnya, walaupun pasukan bomba hadir pada masanya, pihaknya mendapati tekanan air di pili bomba pula rendah sewaktu kejadian.

"Kita tidak tahu ia disebabkan perbadanan pengurusan atau pihak bomba tidak membuat pemeriksaan berkala. Itu kita tidak pasti.

"Selepas kejadian itu, tiga hari kemudian kereta pula terbakar di Blok F (PPR Kampung Baru Air Panas). Di pili bomba itu juga tidak ada air," katanya.

Mengulas lanjut, Muhamad Faidzal mendakwa PPR Kampung Baru Air Panas juga sudah lama tiada pemeriksaan secara berkala membabitkan pili bomba.

"Kebanyakannya tidak berfungsi. Pili bomba itu tak ada air," katanya.

Bagaimanapun, dia melahirkan kesyukuran walaupun tekanan air rendah pada waktu itu, jiran turut membantu dalam memadamkan kebakaran.

"Bila rumah terbakar, kita usaha cara kita. Ambil air dari rumah jiran sebelah," katanya.

Dia yang juga Naib Pengerusi Gabungan Pengerusi-Pengerusi Persatuan Penduduk PPR dan PA DBKL berpandangan, kesukaran bomba untuk masuk bagi memadamkan kebakaran disebabkan sikap penduduk meletakkan kereta secara berlapis di kawasan itu.

Selain jumlah kereta semakin bertambah di PPR dan PA, Muhamad Faidzal berkata, kereta tersadai juga salah satu punca menyebabkan kesukaran bomba untuk masuk ke lokasi berkenaan.

"Orang meletakkan kereta bertindih dan menyukarkan bomba untuk masuk. Kadang-kadang dari Blok C, tetapi letak kenderaan di Blok D.

"Selepas itu, kereta buruk dibiarkan macam itu. Ia akan menyebabkan tempat meletak kenderaan tidak cukup," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2024 @ 12:01 PM