SAID Muhammad Hafidz berkongsi rezeki dengan memberi 50 sushi percuma kepada asnaf pada setiap Jumaat. FOTO ihsan pembaca
SAID Muhammad Hafidz berkongsi rezeki dengan memberi 50 sushi percuma kepada asnaf pada setiap Jumaat. FOTO ihsan pembaca
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Lain orang, lain caranya beramal begitu juga dengan bapa dua anak, Said Muhammad Hafidz Adhha Said yang berkongsi rezeki menerusi pemberian 50 sushi percuma kepada golongan asnaf pada setiap Jumaat.

Said Muhammad Hafidz, 25, yang berniaga secara jualan bonet di AU5 di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Lembah Keramat berkata, sushi percuma itu diberikan sejak dua minggu lalu dengan mensasarkan asnaf kawasan sekitar sebagai penerima.

Menurutnya, niatnya cuma satu iaitu bersedekah bagi pihak ayahnya, Said Umar Said Daud yang meninggal dunia akibat serangan jantung, April tahun lalu.

Bercerita lanjut, Said Muhammad Hafidz yang menetap di Taman Ukay Bistari, Ampang, Selangor berkata, dia mula berniaga sushi sejak April lalu iaitu selepas berhenti kerja di bahagian pemasaran laman sosial sebuah syarikat.

"Ikutkan, saya baru enam bulan berniaga sushi iaitu sewaktu tempoh awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu.

"Jujurnya, saya bukan penggemar sushi malah baru tahu mengenainya sejak beberapa tahun kebelakangan ini kerana bukan datang daripada keluarga senang jadi tidak terdedah dengannya.

"Namun, sejak menjadi ejen jualan sushi, saya belajar mengenainya dan akhirnya tahu serba sedikit tetapi masih tidak mahir menghasilkannya," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Berikutan jualan kurang memberangsangkan, harga sushi jualannya diturunkan dan kini dijual dengan harga RM1 setiap satu.

Meskipun begitu, Said Muhammad Hafidz sedar masih ramai yang tidak pernah merasai makanan itu dan ia mendorongnya bersedekah.

"Kebetulan, saya mengenali pengerusi pembanci di kawasan berkenaan jadi ia memudahkan saya mencari asnaf untuk menerima sumbangan.

"Biarpun bilangan sushi disedekahkan tidak banyak tetapi saya gembira kerana memberi peluang kepada asnaf merasa dan Alhamdulillah, usaha ini mendapat sambutan apabila ramai turut sama mahu membantu selepas ciapan dimuat naik di Twitter tular.

"Terkejut juga dengan maklum balas diterima malah baru-baru ini, ada seorang individu bukan Muslim meninggalkan komen di laman sosial menyatakan kesudiannya menyumbang sejumlah wang bagi membantu," katanya.

Said Muhammad Hafidz berharap perancangannya meneruskan jualan sambil beramal itu dipermudahkan.

"Saya hanya mahu memanjangkan pahala sedekah kepada arwah ayah yang sudah tiada selain membantu golongan kurang bernasib baik sekadar termampu.

"Pada masa sama, saya terbuka dan tidak keberatan memberi peluang kepada orang lain berinfaq," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2020 @ 9:00 PM