ARSHADILA menaiki rakit yang diperbuat daripada batang pokok pisang menyumbang bantuan kepada mangsa banjir. FOTO Ihsan Arshadila Arshad
ARSHADILA menaiki rakit yang diperbuat daripada batang pokok pisang menyumbang bantuan kepada mangsa banjir. FOTO Ihsan Arshadila Arshad
Recqueal Raimi


Kota Belud: Usaha Arshadila Arshad, 37, menaiki rakit yang diperbuat daripada batang pokok pisang menyumbang bantuan makanan dan keperluan harian kepada mangsa banjir r di Kampung Linau, di sini, mencuri perhatian warganet, hari ini.

Meskipun turut memuat naik gambar yang 'melucukan', rata-rata warganet memuji usaha Arshadila itu yang sanggup mendayung rakit di tengah banjir untuk membantu penduduk yang terperangkap dengan mengagihkan makanan dan barang keperluan itu.

Arshadila berkata, tindakan itu bukanlah kali pertama dilakukannya selepas daerah ini kerap dilanda banjir setiap kali hujan lebat berterusan.

"Sebelum ini, saya turut lakukan cara yang sama pada 2017 dengan menaiki 'bangkar' (rakit) untuk keluar dari rumah dan membantu penduduk yang terperangkap akibat rumah dinaiki air.

"Selain bekalan elektrik terputus, mereka terperangkap dan tidak dapat keluar membeli barang keperluan.

"Jadi saya dengan bantuan adik saya membina rakit daripada pokok pisang di hadapan rumah sebelum pergi menderma makanan," katanya.

Dia yang juga ahli Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia Daerah Kota Belud berkata, tindakan itu sudah sebati dengan haluan hidupnya dalam menjalankan misi kemanusiaan.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kota Belud Jimmy Alberto Tining berkata, sehingga 4 petang tadi, seramai 34 mangsa banjir dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Masyarakat Tun Said yang dibuka 11.20 pagi.

Katanya, mangsa banjir membabitkan sepuluh keluarga itu terdiri 17 dewasa, 14 kanak-kanak, satu warga emas dan dua bayi.

"Sebanyak 32 kampung yang terjejas. Pasukan APM memantau dari semasa ke semasa situasi banjir di situ berikutan cuaca tidak menentu demi memastikan keselamatan penduduk," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Oktober 2020 @ 11:49 PM