FOTO Recqueal Raimi
FOTO Recqueal Raimi
Recqueal Raimi


LEBIH 30 pelajar dan murid di Kota Belud meredah banjir ketika pulang ke rumah masing-masing selepas berlaku banjir kilat di beberapa kampung berikutan hujan lebat sejak pagi, hari ini.

Hujan lebat bermula kira-kira 9 pagi itu, turut menyebabkan laluan di beberapa kampung di daerah berkenaan dinaiki air antara 0.2 meter hingga 0.6 meter.

Kampung yang terjejas iaitu Kampung Siasai, Kampung Bobot, Kampung Lingkodon, dan Kampung Donggoi.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Belud, Paulina Francis, berkata anggota APM sudah dikerah ke lokasi banjir bagi memastikan keselamatan penduduk kampung.

"Anggota APM turut membantu lebih 30 pelajar dan murid dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Arshad dan Sekolah Kebangsaan (SK) Pangkalan Abai untuk menyeberangi kawasan banjir menggunakan rakit pulang ke rumah mereka.

"Pemeriksaan mendapati banjir dipercayai berlaku selepas hujan lebat di Hulu Kedamaian sejak pagi," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sehingga ini, katanya, tiada pemindahan penduduk dilakukan memandangkan banjir masih dalam keadaan terkawal.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Julai 2017 @ 4:11 PM