KETUA Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
KETUA Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Muhaamad Hafis Nawawi


SEPULUH kes baharu jangkitan Covid-19 dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), setakat 12 tengah hari, hari ini, sekali gus merekodkan 9,306 kes positif keseluruhan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 10 kes baharu itu, lapan kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara iaitu satu warganegara Malaysia dan tujuh bukan warganegara.

Beliau berkata, lapan kes import itu membabitkan mereka yang baru pulang dari India (lima kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, dua kes di Selangor) dan Filipina (satu kes di Sarawak).

"Dua kes penularan di dalam negara pula membabitkan satu kes warganegara Malaysia dan satu kes bukan warganegara.

"Kes warganegara dikesan di Kedah adalah daripada saringan bergejala manakala kes bukan warganegara dikesan di Selangor adalah kes saringan tahanan iaitu pendatang asing tanpa izin (Pati) dari Depot Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil.

"Sehubungan itu, kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 berkurangan kepada 151 kes dan mereka sudah diasingkan serta diberi rawatan di hospital," katanya dalam kenyataan media perkembangan Covid-19, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga kini, terdapat lapan kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan enam daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau berkata, terdapat 36 kes pulih dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes pulih meningkat kepada 9,030 kes.

Menurutnya, tiada kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes kematian kekal 125 kes iaitu 1.37 peratus daripada jumlah keseluruhan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Ogos 2020 @ 4:21 PM