Olivia Miwil dan Juwan Riduan


"DARI segi undang-undang dan perlembagaan negeri Sabah, saya layak dilantik oleh Tuan Yang Terutama (Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin) untuk menjadi Ketua Menteri Sabah (baharu) kerana mempunyai sokongan majoriti," kata bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman.

Musa memberi reaksi itu ketika sidang media di kediamannya di Luyang, Kota Kinabalu, hari ini, bagi meminta Tun Juhar mempertimbangkan semula pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Bekas Ketua Menteri itu berkata, tidak perlu membubarkan DUN Sabah dan mengadakan Pilihan Raya Negeri kerana beliau ketika ini mempunyai majoriti mudah 33 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada 65 kerusi DUN Sabah.

"Saya ingin menegaskan bahawa pada pagi ini, saya telah menyampaikan kepada Tuan Yang Terutama (Tun Juhar) 33 surat akuan bersumpah (SD) yang mengesahkan bahawa ADUN tersebut menarik balik sokongan kepada (Mohd) Shafie Apdal dan menyatakan sokongan kepada saya untuk dilantik sebagai Ketua Menteri.

"Saya berharap keputusan akan diambil secara bijak dan wajar oleh Tuan Yang Terutama untuk melantik saya sebagai Ketua Menteri baharu dan memberi peluang untuk kami membentuk kerajaan baharu," katanya.

MUSA bersama ADUN yang menyokongnya ketika sidang media di kediamannya di Luyang, Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan
MUSA bersama ADUN yang menyokongnya ketika sidang media di kediamannya di Luyang, Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan

Turut hadir dalam sidang media itu, seramai 33 Ahli Dewan Undang Negeri.

Musa turut mengakui, beliau tidak terkejut dengan pembubaran DUN Sabah sebagaimana diumumkan Mohd Shafie pagi hari ini dan mendakwa ia 'penganiayaan' terhadap dirinya.

"Saya dianiaya kali kedua. Kami tidak terkejut dengan tindakan ini (bubar DUN) dan menjangkakan tindakan seperti ini boleh berlaku. Ini yang saya ingin jelaskan bahawa ini kali kedua saya rasa saya telah dianiaya.

"Kali pertama, saya sudah menubuhkan kerajaan dan mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah... saya dipecat (selepas Pilihan Raya Umum ke-14)," katanya.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Julai 2020 @ 4:09 PM