Wan Rohaimi anggap taktikal, corak permainan pasukan Liga M sudah ‘lapuk’.
Wan Rohaimi anggap taktikal, corak permainan pasukan Liga M sudah ‘lapuk’.
Syazwan Msar

TAKTIKAL sama tiada perubahan secara menyeluruh menyaksikan pasukan Liga Malaysia (Liga M) tidak boleh pergi jauh untuk tempoh akan datang, sekali gus agak sukar mencapai kejayaan di peringkat lebih tinggi.

Malah, masalah sama sebenarnya 'menjangkiti' skuad kebangsaan apabila corak permainan yang diamalkan ketika ini boleh dikatakan sudah 'lapuk' dan sukar meraih kejayaan untuk tempoh sekurangnya lima tahun akan datang.

Perkara terbabit didedahkan bekas pemain kebangsaan Wan Rohaimi Wan Ismail berdasarkan pemantauan dan analisis berkaitan corak permainan beberapa pasukan di negara ini.

Beliau berkata, setiap pasukan seharusnya mempunyai kepakaran lengkap yang berperanan menganalisis, memantau seterusnya mengubah taktikal mereka.

Katanya, setakat ini hanya Johor Darul Ta'zim (JDT) dilihat contoh terbaik apabila sering mengubah taktikal pasukan mengikut kesesuaian, sekali gus mampu membentuk pasukan mantap terutama di pentas antarabangsa.

"Saya boleh katakan bola sepak kita tidak akan kemana atau hanya mengharapkan kejayaan di peringkat sama saja iaitu Sukan Sea atau Asia Tenggara namun untuk naik lagi mungkin agak sukar.

"Apa yang saya lihat adalah kebanyakannya menggunakan corak permainan atau taktikal sama dan ia berulang setiap tahun. Jika mahu melihat kejayaan lebih gemilang, perlu berani dan tidak hanya mengharapkan jurulatih saja untuk membina pasukan mantap kerana mereka juga memerlukan pengarah teknikal berpengalaman," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Selain itu, Wan Rohaimi yang pernah bersama Lim Teong Kim ketika mencurah keringat dalam skuad elit Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) berkata, setiap pasukan sepatutnya menitik berat taktikal dan kemahiran individu dalam pasukan yang dilihat dapat membentuk pasukan lebih mantap dan sistematik.

"Jika dikatakan kecergasan dan kekuatan fizikal tunjang utama dalam pasukan meraih kejayaan sudah lama Afrika Selatan atau beberapa negara lain yang mempunyai pemain bertubuh besar menjuarai Piala Dunia.

"Oleh itu, pihak berkaitan sudah boleh melakukan perubahan secara menyeluruh dengan tidak lagi hanya mengikut corak permainan dahulu yang sebenarnya sudah tidak bersesuaian pada masa sekarang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2020 @ 7:30 AM