ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mangsa tersepit di dalam kereta selepas kemalangan di Kilometer 22 Jalan Papar Lama-Kota Kinabalu, Papar, hari ini, FOTO Juwan Riduan.
ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mangsa tersepit di dalam kereta selepas kemalangan di Kilometer 22 Jalan Papar Lama-Kota Kinabalu, Papar, hari ini, FOTO Juwan Riduan.
Juwan Riduan


TIGA termasuk dua wanita maut manakala dua lagi parah dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 22 Jalan Papar Lama-Kota Kinabalu, Papar, hari ini.

Kemalangan pada 12.30 tengah hari itu membabitkan sebuah kereta Honda Civic dan sebuah lori tiga tan.

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Batholomew Ak Umpit berkata, siasatan awal mendapati Honda Civic dipandu wanita berusia 30-an bergerak dari arah Kota Kinabalu menuju ke Papar.

Bagaimanapun, katanya, sebaik sampai di lokasi kejadian, mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaannya sehingga terbabas lalu masuk ke jalan bertentangan.

"Kenderaan mangsa terus merempuh sebuah lori di lorong bertentangan sehingga mengakibatkan kenderaan mangsa remuk teruk.

"Akibat daripada kejadian itu, pemandu dan dua penumpang berusia 20 hingga 40-an disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di bahagian kepala dan badan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Batholomew berkata, pemandu lori lelaki cedera di kaki dan tangan manakala penumpangnya pula tidak cedera.

Beliau berkata, semua mayat sudah dihantar ke Unit Forensik Hospital Papar untuk proses bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987 kerana memandu dengan melulu dan merbahaya," katanya.

Sementara itu, Jurucakap Pusat Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar dihantar ke tempat kejadian.

"Tiba di tempat kejadian, didapati kemalangan itu membabitkan kereta dan sebuah lori. Tiga mangsa yang tersepit di kereta Honda Civic dikeluarkan pasukan bomba.

"Pasukan bomba menggunakan peralatan 'hidraulik cutter' untuk memotong dan 'hidraulik jack rescue' untuk membuka ruangan sempit pada mangsa.

"Dua lagi mangsa yang parah dibawa oleh ambulans ke hospital untuk rawatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Jun 2020 @ 7:18 PM