POE Rampa.
POE Rampa.
Ridzuan Abdul Rahman

 

PENYANYI reggae yang popular dengan lagu Ala La La Tok (Jangan Saman) pada awal 1990-an, Poe, 64, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL), jam 12.30 tengah hari, hari ini akibat masalah jantung dan komplikasi beberapa penyakit lain.

Isterinya, Nor Aishah Zakaria, 54, berkata, pada mulanya Allahyarham suaminya dimasukkan ke Hospital Selayang sejak minggu lalu akibat masalah jantung, buah pinggang dan hati yang dihidapi sejak beberapa tahun lalu.

"Abang dibenarkan keluar kelmarin selepas lima hari mendapatkan rawatan. Diikutkan ketika dibenarkan keluar pun, dia masih belum sihat. Namun, doktor suruh keluar mungkin kerana pesakit terlalu ramai dan memintanya berehat di rumah.

"Sepatutnya semalam saya bawa abang ke Klinik Kesihatan untuk ambil darah, tapi tak boleh kerana kaki dan tangannya bengkak membuatkan dia sukar untuk bangun," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Nor Aishah, suaminya juga tidak boleh makan dan mereka juga sukar untuk mengangkatnya kerana tubuhnya agak berat.

"Melihatkan keadaannya yang lemah, anak kami menghubungi ambulans untuk membawanya ke HKL.

"Abang beritahu dia rasa lain, seolah-olah membayangkan dia akan pergi. Kami anggap tindakan itu mungkin kerana dia sakit. Memandangkan rumah kami berdekatan dengan HKL, dia terus dibawa ke sana dan dimasukkan ke unit kecemasan. Ketika itu pun abang sudah tak sedarkan diri," katanya.

Poe atau nama sebenarnya Mohd Fauzi Ahmad pernah dimasukkan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) pada 1 Mac 2016 akibat serangan angin ahmar.

Allahyarham sebelumnya dimasukkan ke Hospital Tampin, Negeri Sembilan selepas mengadu sakit.

Poe juga pernah mengalami masalah paru-paru berair dan jantung bengkak dan pernah dimasukkan ke hospital dua tahun sebelum itu, tetapi keadaannya stabil.

Selain bergerak solo, Poe juga aktif bersama seorang lagi rakannya, Zainal menganggotai kumpulan Rampa dan popular dengan lagu-lagu kritikan sosial.

Selain itu, Poe juga aktif sebagai kartunis khususnya untuk majalah Gelihati pada 1980-an.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan lima anak.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pusu, Gombak, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Jun 2020 @ 5:12 PM