Nurul Husna Mahmud


KUALA LUMPUR: Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah, Mesir sentiasa memantau perkembangan rakyat Malaysia di negara itu dan bersedia menghulurkan bantuan jika keadaan semasa berubah di luar jangkaan termasuk melaksanakan operasi repatriasi sekiranya perlu.

Menerusi satu kenyataan Wisma Putra, semalam pihaknya menegaskan bahawa situasi di Mesir buat masa ini adalah masih terkawal dan tiada keperluan mendesak untuk melaksanakan repatriasi membawa warga Malaysia pulang.

"Kementerian Luar menerusi Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah sudah memudah cara kepulangan seramai 5,291 orang pelajar ke tanah air.

"Ini menjadikan bilangan pelajar yang masih berada di Mesir pada ketika ini adalah seramai 4,869 orang, manakala rakyat Malaysia berdaftar termasuk kakitangan kedutaan dan ahli keluarga yang kini berada di Mesir adalah seramai 95 orang.

"Kepulangan rakyat Malaysia ke tanah air ini adalah menggunakan penerbangan komersial sebelum penutupan ruang udara Mesir dan juga melalui 17 penerbangan sewaan khas serta satu penerbangan khas kelolaan Kerajaan Brunei untuk membawa pulang warganya.

"Kepulangan pelajar adalah secara sukarela dan dibiayai secara persendirian.

Di samping itu, atas dasar hubungan dua hala Malaysia-Mesir yang erat, Kerajaan Mesir bermurah hati membenarkan penerbangan membawa pulang rakyat Malaysia berlepas memasuki negaranya meskipun ruang udara ditutup untuk penerbangan antarabangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2020 @ 6:40 AM