Kamarudin Jaffar.
Kamarudin Jaffar.
Oleh Nurul Hidayah Bahaudin


SERAMAI 25 rakyat Malaysia di Lagos, Nigeria selamat tiba di tanah air jam 9.15 pagi tadi melalui penerbangan repatriasi yang diatur oleh kerajaan negara itu melalui pesawat Air Peace.

Timbalan Menteri Luar Negeri Datuk Kamarudin Jaffar berkata, 67 penumpang pelbagai negara yang terkandas di Nigeria sejak penularan Covid-19 turut menaiki penerbangan repatriasi itu.

Penumpang terdiri daripada 32 warga Thailand, Australia (9), Brunei (3), China (1), Filipina (3), Indonesia (1), Kanada (1), Nigeria (6), Pakistan (1), Singapura (1) dan Taiwan (9).

"Mereka akan transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum meneruskan perjalanan pulang ke tanah air masing-masing dengan penerbangan komersial yang dijadualkan," katanya pada kenyataan hari ini.

Kamarudin yang juga Pengerusi Pasukan Petugas Covid-19 Kementerian Luar Negeri berkata, kepulangan kumpulan kedua rakyat Malaysia ini dimudahcara oleh Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Abuja, Nigeria.

"Kos pembiayaan penerbangan itu ditanggung secara persendirian oleh penumpang berkenaan.

"Sebelum ini, 27 rakyat Malaysia di Nigeria pulang ke tanah air pada 24 Jun lalu menerusi penerbangan repatriasi anjuran Kerajaan Emiriah

Arab Bersatu," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, 11 penuntut Malaysia dari Khartoum, Sudan juga tiba di tanah air selepas melalui penerbangan repatriasi Emirates Airlines jam 2.35 petang semalam waktu Sudan.

"Semua penuntut terbabit selamat tiba di KLIA jam 3.44 petang tadi.

"Kepulangan kumpulan rakyat Malaysia ini juga dimudahcara oleh Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum dengan kos pembiayaan ditanggung secara persendirian oleh penumpang," katanya.

Beliau berkata, kerajaan merakamkan penghargaan kepada kerajaan Nigeria yang membantu menjayakan kepulangan kumpulan rakyat Malaysia berkenaan.

"Kementerian Luar Negeri melalui Perwakilan-Perwakilan Diplomatik Malaysia di luar negara akan meneruskan pemantauan situasi semasa.

"Kami juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dalam usaha memberi bantuan sewajarnya kepada rakyat Malaysia yang terkesan dengan pandemik Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Julai 2020 @ 7:03 PM