PAPAN tanda dipasang MPK di persimpangan Jalan Kuantan-Pekan selepas berlaku kes kecurian pokok bunga hiasan. FOTO Asrol Awang
PAPAN tanda dipasang MPK di persimpangan Jalan Kuantan-Pekan selepas berlaku kes kecurian pokok bunga hiasan. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang


MAJLIS Perbandaran Kuantan (MPK) kesal dengan tindakan individu tidak bertanggungjawab yang mencuri pokok bunga hiasan di persimpangan lampu isyarat Jalan Kuantan-Pekan, Batu 6, di Kuantan.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Norkamawati Kamal berkata, tindakan itu anggap keterlaluan ketika pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam usaha mengindah dan menceriakan persimpangan berkenaan.

Katanya, kerja penanaman pokok bunga hiasan itu dilakukan awal tahun ini dan kecurian mula dikesan sejak beberapa minggu lalu.

"Disebabkan berlaku kecurian, kita mengambil keputusan memasang papan tanda di persimpangan itu untuk menghalang kecurian.

"Sebenarnya di kawasan lain ada juga berlaku kecurian tetapi di situ kecurian begitu ketara," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tinjauan di persimpangan itu hari ini mendapati empat papan tanda dipasang dalam usaha menghalang pihak tidak bertanggungjawab daripada terus mencuri.

Antara ayat yang tertera pada papan tanda ialah 'Jangan curi, please sudah 3x tukar' dan 'Curi pokok free, naik kereta polis'.

Sementara itu, pengguna jalan raya, Hamdan Jamaluddin, 38, kecewa dengan sikap pihak tertentu yang melakukan jenayah terbabit.

Katanya, pokok bunga itu ditanam bagi menceriakan kawasan tetapi sikap terbabit menyebabkan PBT terpaksa menanggung kerugian.

"Diharapkan dengan pemasangan papan tanda ini, kes kecurian pokok bunga hiasan tidak berlaku lagi selepas ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mei 2020 @ 1:32 PM