PAPAN tanda amaran dipasang di Jalan Kuantan-Gambang, dekat Taman Tas, Kuantan. FOTO Asrol Awang
PAPAN tanda amaran dipasang di Jalan Kuantan-Gambang, dekat Taman Tas, Kuantan. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang


Kuantan: Bagi mengelak berlaku kegiatan vandalisme termasuk kecurian pokok bunga hiasan, Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) memasang kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi tumpuan.

Antara lokasi terbabit ialah di Jalan Kuantan-Gambang, Jalan Pintasan, Jalan Wong Ah Jang, Jalan Kuantan-Pekan dekat Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS), di sini.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MBK, Norkamawati Kamal berkata, setakat ini, sebanyak 16 CCTV dipasang termasuk di pusat bandar raya.

"Dengan pemasangan CCTV itu bukan sahaja dapat memantau kegiatan vandalisme, malah kes kecurian pokok bunga hiasan dapat diatasi.

"Ini kerana pada Ogos lalu, MBK mengalami kerugian RM2,500 apabila 150 pokok bunga hiasan spesis 'ixora sunkist' dicuri di Jalan Kuantan-Gambang dekat Taman Tas, di sini.

"Kita tidak mahu kejadian berulang dan papan tanda amaran 'Anda Sedang Diperhatikan CCTV' dipasang di jalan terbabit.

"Empat daripada kesemua CCTV berkenaan dipasang untuk memantau pokok bunga hiasan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pada vulan lalu, MBK kesal apabila pihak tidak bertanggungjawab mencuri 150 pokok bunga hiasan spesis 'ixora sunkist' bernilai RM2,500 di Jalan Kuantan-Gambang dekat Taman Tas.

Tindakan itu dianggap keterlaluan ketika MBK dalam usaha mengindah dan menceriakan laluan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 September 2021 @ 1:01 PM