Pokok bunga hiasan spesis ixora sunkist menjadi sasaran pencuri di Jalan Kuantan-Gambang, dekat Taman Tas, Kuantan. FOTO Asrol Awang
Pokok bunga hiasan spesis ixora sunkist menjadi sasaran pencuri di Jalan Kuantan-Gambang, dekat Taman Tas, Kuantan. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang


Kuantan: Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab mencuri pokok bunga hiasan di Jalan Kuantan-Gambang dekat Taman Tas, di sini.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MBK, Norkamawati Kamal berkata, sikap tidak bertanggungjawab itu amat dikesali ketika pihaknya mempergiatkan penanaman pokok bunga hiasan itu.

Katanya, dalam kes terbabit, pihaknya mendapati sebanyak 150 pokok bunga hiasan spesis 'ixora sunkist' bernilai RM2,500 dicuri.

"Tindakan itu dianggap keterlaluan ketika MBK dalam usaha mengindah dan menceriakan jalan berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya meminta individu atau pihak tidak bertanggungjawab supaya membuang tabiat atau perbuatan tidak bermoral itu.

Katanya, perbuatan terbabit akan menyebabkan usaha yang dilakukan untuk melihat bandar raya Kuantan cantik terbantut disebabkan sikap negatif itu.

"MBK juga meminta warga Kuantan bersama membantu memantau dan melaporkan jika melihat individu tidak bertanggungjawab melakukan perbuatan itu.

"Kita perlu menerapkan mentaliti kelas pertama di kalangan Warga Kuantan supaya mampu memajukan bandar raya ini dan mencapai agenda tranformasi yang diusahakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Ogos 2021 @ 12:58 PM