PESAKIT terakhir positif Covid-19 di HHT, Hafiz melambai tangan selepas dibenarkan keluar wad hospital itu hari ini. FOTO Bernama
PESAKIT terakhir positif Covid-19 di HHT, Hafiz melambai tangan selepas dibenarkan keluar wad hospital itu hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

MENERIMA rawatan selama 53 hari dan terpaksa mendapatkan rawatan di dua hospital di Terengganu dek penangan virus Covid-19 meninggalkan kesan amat mendalam kepada seorang pesakit yang hanya mahu dikenali sebagai Hafiz.

Lebih-lebih lagi apabila melihat seorang demi seorang rakan rapatnya yang turut dirawat di Hospital Hulu Terengganu (HHT) dibenarkan pulang minggu lalu, sekali gus menjadikan dirinya antara pesakit terakhir Covid-19 yang masih menerima rawatan di hospital itu.

Namun, tiada apa yang lebih menggembirakan bagi pemuda berusia 25 tahun dan berasal dari Betong, Sarawak itu apabila dibenarkan pulang hari ini selepas sembuh disahkan sembuh, dan menyifatkannya sebagai 'kurniaan istimewa' daripada Ilahi menjelang sambutan Aidilfitri dua minggu lagi.

"Sepanjang tempoh menerima rawatan di sini, saya sentiasa berhubung dengan keluarga di Betong, Sarawak melalui panggilan video dan mereka lega apabila dimaklumkan saya menerima layanan terbaik daripada petugas kesihatan di HHT serta Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

"Hubungan kami bagaikan sebuah keluarga, begitu juga hubungan dengan kawan-kawan (pesakit Covid-19 lain) juga sangat erat, cuma saya agak terkesan apabila beberapa kawan rapat dibenarkan keluar pada minggu lepas," katanya ketika ditemui pemberita di HHT hari ini.

HAFIZ (tengah) mengucapkan terima kasih kepada jururawat dan doktor yang merawatnya selepas dibenarkan keluar wad hospital itu hari ini.  FOTO Bernama
HAFIZ (tengah) mengucapkan terima kasih kepada jururawat dan doktor yang merawatnya selepas dibenarkan keluar wad hospital itu hari ini. FOTO Bernama

Hafiz, yang sudah tidak sabar mahu pulang ke Sarawak untuk berpuasa dan merayakan Aidilfitri tidak lama lagi, berharap orang ramai tidak mengambil mudah mengenai ancaman jangkitan Covid-19 dengan sentiasa mengamalkan saranan kebersihan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Harapan saya supaya wabak ini segera berakhir supaya kita semua dapat hidup seperti biasa secepat mungkin," katanya.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Dr Nor Azimi Yunus berkata, Hafiz adalah antara dua pesakit terakhir positif Covid-19 yang menerima rawatan di HHT.

"Dia menghadiri ijtimak tabligh di Sri Petaling pada 24 Februari hingga 4 Mac lalu, selepas itu datang ke Terengganu untuk berdakwah Bagaimanapun, dia dimasukkan ke HHT pada 17 Mac sebagai pesakit dalam siasatan (PUI) selepas mengalami batuk dan sakit tekak.

"Dua hari selepas itu, pesakit ini dimasukkan ke HSNZ selepas didapati positif Covid-19 dan dipindahkan semula ke HHT pada 5 April apabila keadaannya semakin stabil untuk meneruskan rawatan sebelum dibenarkan keluar hari ini," katanya.

HHT mula diwartakan sebagai hospital yang merawat kes berkaitan Covid-19 sepenuhnya di Terengganu pada 14 Mac dan sejak itu, semua pesakit lain dipindahkan ke HSNZ serta Hospital Setiu untuk menerima rawatan.

Dr Nor Azimi berkata, kesemua lapan daerah di Terengganu kini dikategorikan sebagai zon hijau kerana merekodkan sifar kes positif Covid-19 bagi tempoh 14 hari dengan kes terakhir dikesan pada 23 April di Besut dan kesemua 13 pusat kuarantin juga sudah ditutup kecuali satu di Kemaman.

  • Lagi berita berkaitanCovid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mei 2020 @ 5:56 PM