GAMBAR hiasan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
GAMBAR hiasan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
BERNAMA

Kuala Terengganu: Kapasiti penggunaan katil untuk pesakit Covid-19 termasuk di Unit Rawatan Rapi (ICU) serta penyakit-penyakit lain di Terengganu masih mencukupi setakat ini, kata Pengarah Kesihatan Negeri Dr Nor Azimi Yunus.

Beliau berkata, terdapat 436 katil yang dikhaskan untuk merawat kes Covid-19 di tiga hospital iaitu 236 katil di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Hospital Setiu (76) dan Hospital Hulu Terengganu (124).

"Namun, mengambil kira peningkatan kes Covid-19 bagi kategori tiga, maka tambahan katil hospital adalah diperlukan. Oleh itu, kita telah menukar status 71 daripada 162 katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Kolej Jururawat untuk dijadikan katil tambahan wad Covid-19 di HSNZ.

"Bagaimanapun, ini tidak bermaksud Covid-19 di Terengganu sudah tenat. Ini adalah strategi dan keperluan dengan mengambil kira peningkatan kes Covid-19 di Terengganu ketika ini," katanya dalam kenyataan di laman sosial Facebook rasminya, hari ini.

Selain itu, beliau berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu juga menambah 17 katil di ICU untuk merawat kes Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan ialah 37 katil, ketika ini.

"Setakat semalam, hanya 14 kes sedang dirawat di ICU dan lapan daripadanya memerlukan bantuan pernafasan. Kadar penggunaan katil di ICU masih mencukupi dan mana-mana pesakit Covid-19 yang memerlukan rawatan ICU di Terengganu boleh dimasukkan ke ICU," katanya.

Dr Nor Azimi berkata, setakat ini terdapat lima PKRC di Terengganu dengan kapasiti sebanyak 2,366 katil dan jumlah itu juga mencukupi untuk menampung pertambahan pesakit Covid-19 ketika ini.

"Setakat semalam hanya 1,357 katil (57.4 peratus) sedang digunakan. Namun sekiranya peningkatan kes Covid-19 berterusan, tidak mustahil kita juga mungkin akan mengalami masalah ketidakcukupan katil biasa atau katil ICU untuk merawat kes Covid-19 di Terengganu.

"Menjadi tanggungjawab semua rakyat Terengganu untuk kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) supaya kita boleh membantutkan peningkatan kes dan memutuskan rantaian jangkitan dengan segera," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Jun 2021 @ 7:16 PM