ANTARA individu yang ditahan selepas menyertai parti liar. FOTO ihsan Polis
ANTARA individu yang ditahan selepas menyertai parti liar. FOTO ihsan Polis
Nurul Hidayah Bahaudin


SERAMAI 23 individu termasuk 10 wanita yang menyertai parti liar ditahan di kondominium di Jalan Gombak, Setapak, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, pihaknya membuat serbuan di lokasi itu pada 1.40 pagi selepas menerima maklumat daripada orang awam.

“Hasil serbuan ini, kami menahan 13 lelaki dan 10 wanita berusia antara 14 hingga 23 tahun.

“Kami turut merampas lima paket dipercayai mengandungi dadah jenis ketamin seberat 4.0 gram dan lapan pil eramin 5 seberat 2.42 gram,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Rajab berkata, mereka yang menyertai parti berkenaan terdiri daripada rakan rapat dan dijemput melalui WhatsApp.

“Hasil ujian saringan awal air kencing dilakukan mendapati tujuh lelaki dan empat wanita positif dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.

“Mereka juga disiasat mengikut Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 kerana mengingkari arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2020 @ 11:19 AM