SUSPEK yang ditahan bersama dadah dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan PJU 8/8A Damansara Perdana, Petaling Jaya, semalam.
SUSPEK yang ditahan bersama dadah dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan PJU 8/8A Damansara Perdana, Petaling Jaya, semalam.
Nurul Hidayah Bahaudin


POLIS menahan lima individu termasuk tiga wanita kerana memiliki dadah dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan PJU 8/8A Damansara Perdana, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, serbuan itu dilakukan sepasukan polis daripada Pasukan Cantas Op Covid-19 pada jam 6.30 petang.

“Hasil pemeriksaan dilakukan terhadap seorang lelaki tempatan, seorang lelaki warga Indonesia dan tiga wanita berusia antara 25 hingga 39 tahun berkenaan menemui 14 paket dipercayai syabu seberat 74.4 gram.

“Kami turut menyita sebuah kereta Proton Waja dalam serbuan itu. Hasil ujian saringan air kencing dilakukan mendapati semua suspek berkenaan positif dadah jenis amphetamin dan methaphetamin.

“Siasatan lanjut berhubung kes ini sedang dijalankan termasuk bagi mengenal pasti pembabitan suspek dalam kes lain. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

ANTARA barang yang dirampas dalam serbuan itu.
ANTARA barang yang dirampas dalam serbuan itu.

Dalam perkembangan berasingan, Nik Ezanee berkata, pihaknya menahan 12 warga asing termasuk seorang wanita dalam lapan tangkapan berasingan di sekitar daerah ini, kelmarin dan semalam.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada warga Indonesia, Arab Saudi, Pakistan, Bangladesh, India dan Libya berusia antara 21 hingga 40 tahun kerana kerana gagal memberikan alasan munasabah mengenai pergerakan mereka.

“Selain itu, seramai 22 individu warga tempatan dikenakan kompaun RM1,000 kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kes disiasat mengikut Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 April 2020 @ 3:28 PM