Nor Farhani Che Ad


POLIS mengesahkan suspek ditahan berhubung kes bunuh pengasuh wanita di Taman Sutera Idaman, Sungai Petani 8 Mac lalu adalah anggota polis yang sedang berkhidmat.

Anggota polis berusia 58 tahun itu yang dipercayai kenalan mangsa, Haziah Yeap Osman, 58, ditahan pada hari kejadian kira-kira 11 malam di Sungai Petani dan kini direman sehingga 22 Mac ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut mengenai motif pembunuhan.

“Berdasarkan siasatan yang mana tiada kesan pecah rumah di tempat kejadian, kita percaya suspek yang ditahan adalah mereka yang dalam lingkungan kehidupan mangsa.

“Hari ini kita bercadang akan membawa kertas siasatan ke Timbalan Pendakwa Raya. Kita tengok macam mana keputusan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, hari ini.

Semalam, lelaki berusia 47 tahan juga dipercayai kenalan mangsa ditahan reman sehingga 24 Mac ini.

Adzli turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian untuk tampil bagi melancarkan siasatan.

Sebelum ini, media melaporkan mayat pengasuh kanak-kanak terbabit ditemui di rumahnya dengan keadaan tangan terikat di belakang menggunakan wayar pengecas telefon dan mulut ditutup dengan kain.

Kejadian disedari oleh bapa anak asuhannya selepas wanita itu tidak menyahut panggilan lelaki berkenaan ketika ingin menghantar anaknya ke rumah mangsa.

Berita berkaitan:

  • Kenalan pengasuh maut dibunuh ditahan
  • Kenalan pengasuh ditahan
  • Pengasuh disyaki dibunuh patah tulang tengkuk [METROTV]
  • Ibu tiada musuh
  • 'Tak dengar bunyi pelik tapi rumah gelap' - Jiran
  • Pengasuh ditemui dibunuh, tangan terikat [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mac 2020 @ 12:19 PM