MOHD Azhar memberi makanan kepada kucing buangan di Plaza Tol Taman Rimba Templer.
MOHD Azhar memberi makanan kepada kucing buangan di Plaza Tol Taman Rimba Templer.
Mohd Hasbi Sidek

Rawang: Tindakan segelintir individu membuang atau meninggalkan kucing di Plaza Tol Taman Rimba Templer, dekat sini, dianggap tidak berhati perut kerana kawasan berkenaan tiada sumber makanan bagi haiwan itu.

Difahamkan, kawasan plaza tol berkenaan tiada kedai makan, malah jauh dari penempatan sekali gus menyebabkan kucing dibuang kebuluran atau mati.

‎Lebih membimbangkan, kucing terbiar itu berisiko dilanggar kenderaan yang lalu-lalang di kawasan plaza tol berkenaan.

Tinjauan di kawasan berkenaan mendapati ada lima hingga enam kucing yang sebahagian daripadanya betina mengharapkan simpati pekerja di plaza tol untuk mendapatkan makanan.

Pengguna jalan raya Mohd Azhar Alias, 41, berkata, dia menyedari kehadiran haiwan itu berkeliaran di plaza tol sejak beberapa bulan lalu dan mengambil keputusan singgah setiap malam di kawasan berkenaan untuk memberi makanan.

“Kali pertama saya perasan ada kucing di kawasan ini ketika baru pulang menghantar barang di Kundang. Ketika itu saya dalam perjalanan pulang ke rumah dan berhenti seketika di kawasan ini.

“Daripada pengamatan saya, ada sekurang-kurangnya tujuh kucing di kawasan ini dan ada juga yang bunting.

Saya sudah ada 10 kucing di rumah, jadi saya ambil keputusan memberi makanan setiap malam saja,” katanya.

Mohd Azhar berkata, dia bimbang kerana di kawasan berkenaan tiada kedai makan yang boleh menjadi sumber makanan kucing selain tiada kawasan perumahan.

“Kawasan perumahan paling dekat sejauh lapan kilometer dari lokasi plaza tol, manakala pekan paling dekat 10 kilometer.

“Memang kesian apabila melihat kucing ini dibuang di kawasan yang boleh menyebabkan mereka mati kebuluran. Nasib baik ada pekerja pembersihan plaza tol yang baik hati menghulurkan makanan,” katanya..

Sementara itu, pekerja pembersihan plaza tol dikenali sebagai Sutimah, 30-an, berkata dia sering mengeluarkan wang untuk membeli makanan kepada kucing terbuang itu.

“Kesian lihat mereka lapar. Sebelum ini, ada seekor kucing mati kerana dilanggar motosikal.

“Sejak bekerja di sini lapan bulan lalu, ada sekurang-kurangnya tujuh kucing dalam satu-satu masa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Mac 2018 @ 8:02 AM