ABU Samah ditahan SPRM. FOTO Aizuddin Saad
ABU Samah ditahan SPRM. FOTO Aizuddin Saad
Saiful Affendy Sapran dan Syazwan Msar

PRESIDEN Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd Wahab ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung pemberian beberapa kontrak bernilai RM325,000.

Sumber memberitahu Arena Metro, beberapa lagi individu juga akan ditahan SPRM bagi membantu siasatan kes sama membabitkan kesalahan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pecah amanah.

Beliau berkata, penahanan individu berkenaan akan dilakukan dalam masa terdekat dan mereka yang ditahan mempunyai kaitan dalam pemberian kontrak membabitkan beberapa projek sebelum ini.

Katanya, anggaran keseluruhan projek berkenaan mencecah RM325,000 membabitkan pemberian tender dan projek yang mempunyai kepentingan kepada individu tertentu.

“Memang akan ada penahanan lagi selepas ini bagi membantu siasatan, namun saya tidak boleh mendedahkan siapa dan lokasi terkini mereka.

“Setakat ini, mengikut maklumat yang diterima mungkin membabitkan beberapa projek yang diberikan kepada individu tertentu saja,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki ketika dihubungi tidak menafikan kemungkinan akan ada individu lain dipanggil bagi membantu siasatan.

Dalam perkembangan sama, Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Yunus Ibrahim yang mengesahkan Abu Samah ditahan SPRM berhubung siasatan kes terbabit berkata, barisan kepemimpinan persatuan akan sentiasa menyokong pemimpin sukan veteran itu.

“Di pihak persatuan, kami di barisan kepimpinan tetap berada di belakang presiden,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, biarlah siasatan dilakukan terlebih dahulu oleh SPRM sebelum sebarang tindakan susulan dapat dilakukan.

Katanya, adalah satu prosedur biasa untuk seseorang individu ditahan bagi membantu siasatan.

“Sebab kami pun tidak pasti kes mana yang disiasat oleh SPRM. Jadi, lebih baik untuk ruang diberikan kepada SPRM terlebih dahulu,” katanya ketika dihubungi.

Jelas Yunus, satu mesyuarat akan diadakan dalam tempoh terdekat untuk membincangkan beberapa perkara termasuk isu penahanan Abu Samah.

“Segala perancangan perlu diteruskan seperti biasa dan mungkin salah satu yang akan dibincangkan adalah mengenai penahanan ini,” katanya.

Berita berkaitan

'Ya, Abu Samah'

SPRM sah penangkapan pemimpin persatuan sukan

SPRM tahan presiden persatuan sukan

Pemimpin badan sukan ditahan SPRM?

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Februari 2020 @ 6:30 AM