GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nor Azizah Mokhtar


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini, menahan seorang presiden persatuan sukan kebangsaan selepas disyaki menyalahguna kuasa, lapor BH Online.

Menurut sumber, suspek ditahan di kediamannya oleh sepasukan anggota SPRM.

“Beliau disiasat atas dakwaan menyalahgunakan kuasa dalam urusan pemberian kontrak berkaitan persatuan sukan yang diterajuinya.

“Suspek dipercayai memberi projek di bawah persatuan kepada syarikat yang dimiliki oleh ahli keluarganya,” katanya.

Kata sumber itu lagi, terdapat beberapa projek turut didakwa diberikan kepada syarikat milik suspek sendiri.

Bagaimanapun, sumber terbabit enggan mendedahkan jumlah projek dan nilai sebenar kontrak berkenaan kerana perkara itu masih dalam siasatan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi BH, mengesahkan penahanan itu.

“Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi untuk direman dan mahkamah membenarkan reman selama empat hari sehingga 2 Februari ini.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009,” katanya.

Hari ini, Bh Online melaporkan, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak pasti mengenai kesahihan laporan sebuah portal yang mendakwa seorang pemimpin persatuan sukan ditahan SPRM, pagi tadi.

“Saya tidak pasti, cuma saya ada dengar juga berita ini... presiden persatuan yang dipanggil SPRM,” kata Syed Saddiq dalam satu sidang media pengumuman Genting Malaysia sebagai penaja utama Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020, hari ini.

“Saya rasa dalam hal ini, beri ruang kepada SPRM untuk melakukan siasatan. Saya pun tidak pasti apa tujuannya dan biar mereka uruskannya.”

Dalam laporan portal berkenaan, individu berkenaan ditahan atas kesalahan rasuah, penyalahgunaan kuasa ataupun pecah amanah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 January 2020 @ 9:29 PM