Tan Sri Annuar Musa.
Tan Sri Annuar Musa.
Yusmizal Dolah Aling


KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan akan mengadakan perbincangan bersama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Kementerian Belia dan Sukan untuk mencari kaedah membantu golongan muda memiliki rumah sendiri.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, pada peringkat permulaan, pihaknya menyediakan lebih 1,000 unit rumah sewa kepada generasi muda yang belum mampu, dijangka sebelum hujung tahun ini.

Katanya, kadar sewa dikenakan adalah sekitar RM800 hingga RM850 untuk rumah tiga bilik dan mereka boleh menyewa selama beberapa tahun sehingga projek rumah mampu milik bernilai RM200,000 disiapkan.

"Saya sudah pun berbincang dengan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican. Minggu depan, kami dan beberapa agensi akan duduk berbincang mengenai perkara ini.

"Sebahagian sewa yang kita kenakan kepada mereka itu boleh dijadikan satu rebat sebagai bayaran permulaan untuk rumah yang kita bina nanti," katanya pada sidang media harian menerusi Facebooknya, hari ini.

Annuar berkata, kementeriannya juga sedang merancang untuk membantu peniaga yang menjalankan perniagaan di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur termasuk di kompleks membeli belah yang sukar sebelum ini kerana sewa mahal.

Katanya, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diumumkan kerajaan memberi peluang kepada kementeriannya bagi menyusun program untuk semua peringkat masyarakat di Wilayah Persekutuan.

"Bukan saja gelandangan yang kita nak beri perhatian, orang muda, pegawai muda yang nak mendapatkan kerja dan memiliki rumah juga akan kita lihat.

"Saya mahu selesaikan gelandangan terlebih dahulu kerana ia sudah pun berjalan, selepas ini kita akan tengok satu demi satu supaya Kuala Lumpur menjadi tempat kita mencari rezeki, membina kerjaya dan peluang perniagaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mei 2020 @ 5:02 PM