AKSI Chong Wei (kiri) ketika staf Madame Tussauds mengambil ukuran badannya.
AKSI Chong Wei (kiri) ketika staf Madame Tussauds mengambil ukuran badannya.
Ferzalfie Fauzi


LEGENDA badminton negara, Datuk Lee Chong Wei terkejut diberi penghormatan menjadi atlet pertama negara yang mempunyai patung lilin dan bakal dipamerkan di Madame Tussauds Hong Kong.

Menurut bekas pemain nombor satu dunia itu, ia satu penghormatan buatnya apabila bakal memiliki patung lilin tersendiri setanding atlet sensasi dunia seperti Usain Bolt (olahraga), Rafael Nadal (tenis), David Beckham (bola sepak) dan Yao Ming (bola keranjang).

“Saya pun terkejut sebelum ini apabila mendapat berita mereka akan menyiapkan patung lilin saya. Segala ukuran sudah diambil sejak November dan Disember tahun lalu. Ia akan dilancar di Malaysia pada Februari atau Mac ini, sebelum diterbangkan ke Hong Kong,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Chong Wei yang mengumumkan persaraan pada 13 Jun tahun lalu mengakui proses mengambil ukuran itu sedikit memenatkan, namun beliau tidak sabar untuk melihat hasilnya nanti.

“Ia mengambil masa selama lapan jam untuk mengambil ukuran sebenar bentuk badan saya. Bagaimanapun, proses berkenaan tidak dijalankan selama lapan jam berturut-turut, saya dibenarkan berehat selepas empat jam dan rehat untuk makan serta minum sebelum menyambung semula proses berkenaan,” katanya.

Madame Tussauds semalam mengumumkan secara rasmi Chef-de-Mission Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu akan menjadi atlet pertama Malaysia memiliki ukiran patung lilin sendiri.

“Saya tidak pernah terbayang akan memiliki ukiran patung lilin saya sendiri. Terima kasih kepada Madame Tussauds Hong Kong di atas penghormatan ini dan saya juga bangga menjadi atlet pertama negara tersenarai.

“Terima kasih yang tidak terhingga kepada pasukan Madame Tussauds Hong Kong yang sentiasa bersabar dan teliti ketika proses mengukur. Ini adalah pengalaman pertama saya,” katanya dalam akaun Facebook semalam.

Chong Wei juga menjadi warganegara Malaysia kedua mempunyai ukiran patung lilin selepas pelakon wanita, Michelle Yeoh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 January 2020 @ 6:45 AM