PEMERIKSAAN mamogram  dapat mengesan kehadiran kolagen pada payudara.
PEMERIKSAAN mamogram dapat mengesan kehadiran kolagen pada payudara.
Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque


KELIHATAN jelita dengan susuk tubuh menawan menjadi idaman setiap wanita hingga ada yang sanggup menjadi ‘tikus makmal’ dengan menggunakan produk kecantikan yang banyak dijual di pasaran tanpa mempedulikan kandungannya.

Suntikan kolagen antara satu daripada kaedah yang sering menjadi pilihan golongan wanita yang bukan saja mahu mencantikkan kulit wajah, malah bagi menegangkan payudara.

Walaupun harganya mencecah ribuan ringgit namun demi untuk jelita, wang bukan halangan. Tambahan pula apabila sudah tertarik dengan testimoni wanita yang pernah mengambil suntikan berkenaan.

Namun sejak kebelakangan ini, berikutan kepesatan perniagaan dalam talian atau e-dagang, suntikan kolagen ini boleh diambil sendiri tanpa perlu lagi ke butik kecantikan dan harganya lebih murah.

Mendedahkan perkara itu, Pakar Radiologi Hospital Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Radhiana Hassan berkata, jumlah pesakit yang dikesan menyuntik kolagen pada payudara semakin meningkat sejak tiga tahun kebelakangan ini.

Menurutnya, tidak semua pesakit terbuka mengakui ada menyuntik kolagen pada payudara sehingga mereka menjalani ujian mamogram yang menggunakan peralatan imbasan sinar-X.

“Kolagen yang dihasilkan daripada bahan kimia berbahaya akan memberi impak kepada kesihatan kerana ia akan memberi reaksi pada payudara sehingga menyebabkan timbul ketulan pada luar kulit.

“Kolagen yang sudah sebati bersama darah tidak dapat dikeluarkan dari tubuh menyebabkan pelbagai risiko penyakit berkaitan buah pinggang dan paru-paru sehingga berkemungkinan menyebabkan kematian,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, pesakit kebiasaannya memberikan alasan untuk tampil cantik sehingga sanggup menggadai nyawa dengan menyuntik kolagen yang tidak disahkan selamat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya, mesin radiologi yang digunakan untuk imbasan mamogram sukar untuk membuat imbasan kerana wujud benda asing pada payudara.

“Pada imbasan sinar-X akan wujud imej putih yang menunjukkan seseorang itu pernah menyuntik benda asing seperti kolagen pada payudara sedangkan keadaan normal ia tidak berlaku.

“Lebih membimbangkan kolagen ini boleh menyebabkan implikasi bengkak dan bernanah pada payudara. Malah kanser juga sukar dikesan kerana tersorok di sebalik bahan kolagen dalam darah,” katanya.

Beliau berkata, keputusan menyuntik kolagen ini perlu dinilai sebaik mungkin khususnya bahan kimia yang digunakan penjual kerana ia boleh memberi impak kesihatan berpanjangan kepada pengguna termasuk risiko maut.

Dr Radhiana berkata, tidak wajar hanya sekadar mahu tampil menarik wanita sanggup menggadai kesihatan mereka dengan mengambil jalan mudah menggunakan produk kolagen tidak disahkan selamat oleh KKM.

NANAH pada payudara kesan daripada bahan kimia.
NANAH pada payudara kesan daripada bahan kimia.

Tiada produk suntikan daftar KKM

Tiada sebarang produk suntikan kolagen membesarkan payudara yang berada di pasaran berdaftar dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pendedahan itu membuktikan produk yang ada di pasaran kini berbahaya dan mampu mengancam kesihatan pengguna khususnya wanita yang berhajat untuk tampil cantik.

Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi Program Perkhidmatan Farmasi KKM, Dr Ramli Zainal berkata, semakan menerusi pangkalan data NPRA mendapati tiada sebarang produk suntikan untuk pembesaran payudara didaftarkan.

Menurutnya, produk suntikan kolagen yang ditawarkan di pasaran kini dianggap dijual secara haram kerana tidak mendapat kebenaran KKM khususnya membabitkan kandungan kimia sama ada dibenarkan atau sebaliknya.

“Program Perkhidmatan Farmasi menerusi Bahagian Penguatkuasaan Farmasi (BPF) sentiasa menjalankan penguatkuasaan untuk memastikan masyarakat tidak mendapat implikasi sekiranya menggunakan produk yang dibeli di pasaran.

“Pemeriksaan dan serbuan kerap dijalankan di kawasan premis yang dikenal pasti untuk mengurangkan permintaan dan penawaran selain membanteras penjualan produk tidak berdaftar di pasaran,” katanya kepada Harian Metro.

Dr Ramli berkata, bagi memastikan produk suntikan kolagen perlu berdaftar dengan KKM dan sehingga kini tiada suntikan kolagen untuk kosmetik yang dibenarkan KKM.

Katanya, KKM akan memastikan semua produk suntikan dan perubatan memenuhi spesifikasi dan mengikut garis panduan yang ditetapkan dalam Dokumen Panduan Pendaftaran Ubat (DRGD) sebelum diluluskan.

“Bagi memastikan penguatkuasaan menyeluruh, BPF tidak hanya tertumpu kepada premis menjual ubat malah ia diperluaskan dengan pemantauan menerusi laman sosial.

“Peniaga yang dikesan melakukan kesalahan akan dilaporkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk sekatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 January 2020 @ 10:00 AM