PEGAWAI BPF KKM memeriksa kediaman dan item milik individu yang menjual produk tidak berdaftar. FOTO Ihsan KKM
PEGAWAI BPF KKM memeriksa kediaman dan item milik individu yang menjual produk tidak berdaftar. FOTO Ihsan KKM
Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Petaling Jaya: Menyamar kononnya berniaga dan menjual 'racun cicak' melalui media sosial bagi membantu orang ramai yang berdepan masalah gangguan cicak di kediaman masing-masing.

Bagaimanapun, lelaki berusia 33 tahun itu sebaliknya adalah dalang yang menjual cecair dan pil steroid anabolik haram kepada orang ramai sejak tiga tahun lalu.

Sumber Bahagian Penguatkuasa Farmasi (BPF) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata, kegiatan lelaki itu dibongkar susulan risikan dilalukan anggota BPF sejak sebulan lalu.

Menurutnya, lelaki itu menyamar kononnya menjual racun untuk membunuh cicak yang diimport dari luar negara.

"Bagaimanapun, siasatan lanjut mendapati lelaki tempatan itu menggunakan khidmat kurier penghantaran untuk menjual produk steroid yang juga sejenis dadah untuk meningkatkan prestasi (drug performance enhancement) melalui media sosial dan platform e-dagang.

"Kediaman lelaki itu bagaimanapun diserbu sepasukan pegawai BPF sebelum produk steroid anabolik miliknya bernilai ribuan ringgit dirampas," katanya.

Beliau berkata, cecair dan pil steroid anabolik haram laris di pasaran terutama dalam kalangan lelaki yang mahu membina otot tubuh dengan pantas.

KKM pada Jumaat lalu mendedahkan pihaknya menyerbu 10 premis perniagaan yang disyaki menjual steroid anabolik dan pelbagai produk tidak berdaftar.

Operasi dilakukan pegawai BPF kementerian itu bersama-sama Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Negeri Selangor dan Kuala Lumpur serta Putrajaya merampas 300 jenis item tidak berdaftar.

ANTARA bukti produk tidak berdaftar yang dirampas BPF KKM. FOTO Ihsan KKM
ANTARA bukti produk tidak berdaftar yang dirampas BPF KKM. FOTO Ihsan KKM

Selain produk mengandungi steroid anabolik, BPF turut merampas produk-produk psikotropik dan bahan terlarang lain serta pelbagai produk tidak berdaftar.

Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi KKM, Datin Dr Faridah Aryani Md Yusof berkata, tindakan itu diambil rentetan daripada beberapa aduan awam mengenai penjualan produk steroid anabolik di platform e-dagang.

Jelasnya, jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM1.2 juta.

"Penjualan produk-produk kesihatan yang tidak berdaftar adalah melanggar Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

"Individu yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mac 2021 @ 8:02 AM