PENGUAT kuasa BPF melakukan serbuan di sebuah pusat rawatan kecantikan   yang dikesan menawarkan rawatan sel stem mencurigakan kepada pelanggan. FOTO NSTP
PENGUAT kuasa BPF melakukan serbuan di sebuah pusat rawatan kecantikan yang dikesan menawarkan rawatan sel stem mencurigakan kepada pelanggan. FOTO NSTP
Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Asmah Rusman

Kuala Lumpur: Seorang lelaki warga emas di Subang Jaya, Selangor, kerugian RM300,000 selepas diperdaya ejen produk kesihatan mendakwa sel stem dijual boleh menyembuhkan sakit kronik buah pinggang dialami.

Sementara di ibu kota, seorang wanita juga hangus wang simpanan RM100,000 selepas membeli sel stem didakwa boleh menyembuhkan penyakit leukemia.

Itu sebahagian laporan diterima Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung penipuan dan penjualan sel stem palsu didakwa boleh merawat pelbagai penyakit maut pada mangsa.

Syarikat dikesan menggunakan pelbagai testimoni sebagai kaedah pemasaran bagi meyakinkan mangsa membayar kos rawatan tinggi dan tidak munasabah.

Malah, ramai mangsa dipujuk supaya tidak mendapatkan nasihat atau merujuk kaedah rawatan sel stem itu dengan doktor kerana mendakwa kaedah rawatan itu dicemburui pakar kesihatan.

Jurucakap KKM berkata, dalam kes dilaporkan sebelum ini, lelaki warga emas di Subang Jaya, Selangor itu didakwa mendapatkan rawatan di sebuah pusat dialisis di Shah Alam, Selangor.

Menurutnya, mangsa dipujuk mencuba rawatan sel stem yang didakwa boleh menyembuhkan sakit buah pinggang dengan pantas.

“Tidak dapat dipastikan kandungan sel stem digunakan. Ada kemungkinan ia dihasilkan daripada placenta binatang atau tumbuh-tumbuhan. Mangsa diminta membayar RM300,000 untuk mendapatkan bekalan pil sel stem itu.

“Bagaimanapun, siasatan mendapati produk itu dijual pusat rawatan kecantikan wajah dan antipenuaan. Ini jelas satu bentuk penipuan berikutan kandungan sel stem itu diragui dan tiada kaitan dengan penyembuhan penyakit. Malah sakit dialami mangsa langsung tidak sembuh,” katanya.

Berdasarkan beberapa laporan diterima, Bahagian Penguat Kuasa Farmasi (BPF) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bertindak melakukan serbuan di sebuah pusat rawatan kecantikan di Jalan Ampang, di sini yang dikesan menawarkan rawatan sel stem mencurigakan kepada pelanggan.

RATUSAN jarum suntikan mencurigakan  ditemui  di bilik rawatan diperiksa. FOTO NSTP
RATUSAN jarum suntikan mencurigakan ditemui di bilik rawatan diperiksa. FOTO NSTP

Operasi diketuai Timbalan Pengarah Cawangan Perisikan Operasi Bahagian Penguat Kuasa Farmasi KKM, Adnan Salimin.

Dalam serbuan sekitar jam 11 pagi kelmarin, pegawai BPF mengambil keterangan beberapa kakitangan di premis itu selain melakukan pemeriksaan terhadap produk disimpan.

Bagaimanapun, pemilik dan kakitangan premis itu dipercayai terlebih dahulu memindahkan semua produk sel stem bagi mengelak diambil tindakan.

“Hanya pelbagai pil vitamin yang ditemui di dalam premis berkenaan ketika pemeriksaan dilakukan. Bagaimanapun, pegawai BPF yakin rawatan sel stem dilakukan mereka berikutan penemuan ratusan jarum suntikan digunakan di dalam salah satu bilik rawatan diperiksa.

“Berdasarkan siasatan dilakukan, kebanyakan pelanggan di premis itu dalam kalangan VIP, golongan kaya tempatan dan pelancong asing yang sanggup menghabiskan wang dalam jumlah besar,” katanya.

Siasatan lanjut turut mendapati pusat itu mendapatkan khidmat beberapa doktor luar negara yang tidak memiliki lesen untuk beroperasi di negara ini.

“BPF akan meneruskan siasatan bagi mengenal pasti pihak yang menyeludup, menjual dan memasarkan sel stem meragukan ini kepada orang ramai. Pesakit seharusnya mendapatkan khidmat nasihat doktor pakar sebelum mencuba sebarang kaedah alternatif termasuk sel stem,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 September 2018 @ 10:11 AM