SYED Saddiq Syed Abdul Rahman. FOTO Arkib NSTP.
SYED Saddiq Syed Abdul Rahman. FOTO Arkib NSTP.
Suraya Roslan


POTONG elaun ahli politik dan menteri, bukan elaun kritikal doktor, ahli farmasi serta jururawat muda.

Itu saranan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang tidak bersetuju dengan pemansuhan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) mulai Januari 2020 bagi penjawat awam 33 Skim Perkhidmatan Kritikal yang baharu dilantik.

Menteri itu menerusi rakaman video di Twitter rasminya berkata, tindakan pemansuhan elaun kritikal itu tidak wajar khusus bagi doktor dan jururawat muda.

“Saya bantah pekeliling baru JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) membabitkan banyak anak muda dalam sektor kerajaan.

“Sebagai permulaan, saya akan memotong pendek cuti tahunan saya, dan akan memulangkan setiap sen duit yang diterima sebagai ‘holiday’ elaun. Saya dah kurangkan 10 peratus dari gaji saya dan akan pastikan yang lain akan kurangkan juga sehingga masalah ini selesai,” katanya.

Malah, pandangan Syed Saddiq yang meminta pemotongan elaun ahli politik dan menteri berbanding elaun kritikal itu mendapat pujian netizen yang menganggap hanya menteri itu memahami bebanan dan keluhan anak muda.

Syed Saddiq berkata, tindakan pemansuhan itu dianggap satu penganiayaan kepada mereka yang sememangnya sudah bekerja lebih masa dengan gaji yang kurang daripada kadar sepatutnya.

“Saya tahu perkara ini kerana baru saja melalui pembedahan apendisitis di hospital kerajaan yang berikan rawatan terbaik kepada semua rakyat Malaysia.

“Ini berkenaan anak muda dalam sektor kerajaan, kita patut membela mereka dan tidak menganaktirikan kerana ini adalah tanggungjawab bersama,” katanya.

JPA menerusi pekelilingnya Jumaat lalu mengumumkan bakal memansuhkan lapan elaun bermula tahun depan antaranya BIPK, Bayaran Insentif Angkat Najis, Bayaran Insentif Menaip Jawi, Elaun Keraian kepada Setiausaha Sulit dan Setiausaha Sulit Kanan serta beberapa elaun lagi.

Berita berkaitan

BIPK mansuh untuk lantikan baharu - JPA

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Disember 2019 @ 1:45 PM