Khairul Najib Asarulah Khan


PEKELILING baru Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi memansuhkan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) akan ditangguhkan sehingga mesyuarat Kabinet tahun hadapan.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, beliau sudah mengutarakan keresahan golongan muda seperti doktor, ahli farmasi dan jururawat kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad, tengah hari tadi.

“Saya menghubungi beliau 12 tengah hari tadi memaklumkan mengenai isu ini. Beliau yang sedang berada di Jepun bersetuju untuk menangguhkan pemansuhan BIPK.

“Hasil perbincangan, Dr Mahathir bersetuju keputusan memansuhkan BIPK hanya diputuskan selepas perbincangan bersama Jemaah Menteri pada persidangan pertama Januari nanti,” katanya kepada pemberita.

SYED Saddiq ketika hadir program Solat Hajat Perdana dan Qunut Nazilah untuk rakyat Uighur dan Kashmir. FOTO Owee Ah Chun
SYED Saddiq ketika hadir program Solat Hajat Perdana dan Qunut Nazilah untuk rakyat Uighur dan Kashmir. FOTO Owee Ah Chun

Beliau ditemui selepas program Solat Hajat Perdana dan Qunut Nazilah untuk masyarakat Islam Uighur dan Kashmir di Masjid Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di Gombak, hari ini.

Mengulas mengenai program itu, Syed Saddiq berkata, program itu bukan hanya dijalankan di UIAM, malah di beberapa lokasi lain yang dianjurkan golongan muda.

“Kita sebenarnya ingin membina kekuatan dalam kalangan umat Islam tidak kira asal usul atau keturunan.

“Kita lihat banyak umat Islam yang ditindas dengan itu setiap lapisan masyarakat perlu bersama untuk mengekang perkara ini kerana ia berkait rapat dengan penindasan dan kezaliman.

“Saya yakin dengan gabungan yang kuat terutama dengan masyarakat Islam di negara lain mampu membendung penindasan ini apabila kita sepakat menentang kezaliman sepenuhnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Disember 2019 @ 4:06 PM